Kecantikan

Amalkan Vitamin C & Vitamin A, Ini Salah Satu Tip Elak & Kurangkan Jeragat Pada Kulit Wajah

Share

Masalah jeragat atau hiperpigmentasi boleh menyebabkan wajah menjadi kusam dan tidak berseri. Ramai wanita mencuba pelbagai jenis krim atau rawatan untuk menghilangkan masalah jeragat atau hiperpigmentasi. Tidak ketinggalan juga yang mengambil langkah sementara dengan memakai mekap tebal untuk menyembunyikan masalah ini.

Menurut statistik, jeragat pada kulit wajah merupakan masalah yang paling biasa dihadapi oleh masyarakat Asia. Hampir 50% konsultasi kepada doktor kulit dan doktor perubatan estetik adalah berkenaan masalah kulit berjeragat seperti masalah melasma, freckle, lentigenes dan bintik suria (sun spot).

Photo by Shiny Diamond from Pexels

Masalah hiperpigmentasi atau jeragat ini berlaku kerana sel kulit daripada jenis melanosit menghasilkan lebihan pigmen ‘melanin’ yang berwarna hitam yang duduk pada sel-sel kulit sehingga menyebabkan warnanya menjadi lebih gelap.

Photo by Polina Tankilevitch from Pexels

Terdapat beberapa tip yang boleh membantu untuk mengurangkan dan merawat masalah jeragat ini.

1. Elakkan daripada berjemur atau terdedah kepada cahaya matahari yang terik di waktu tengah hari dan petang. Jika perlu keluar gunakan krim pelindung matahari. Gunakan krim pelindung matahari ini daripada jenis yang tidak berminyak dan tidak menyebabkan masalah jerawat dengan kekuatan sekurang-kurangnya faktor pelindung matahari 30 (SPF30).

Photo by Moose Photos from Pexels

2. Bagi yang ingin menggunakan produk untuk menghilangkan jeragat, pastikan produk tersebut mengandungi bahan-bahan yang boleh menghalang aktiviti enzim tirosinase seperti tokotrienol, vitamin C, beta karotin, asid kojik, asid azelaik, alfa arbutin, asid mandelik dan hidroquinon.

Bahan hidroquinon ini hanya boleh dipreskripsikan oleh doktor yang bertauliah sahaja, malah ia juga tidak selamat diamalkan untuk jangka masa yang panjang. Pastikan produk yang anda gunakan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri dan hidroquinon.

3. Terdapat juga beberapa suplemen dan vitamin yang boleh membantu mengurangkan masalah jeragat seperti vitamin C dan vitamin A dalam bentuk asid retinoik. Suplemen antioksidan daripada buah-buahan seperti buah beri, beri biru, beri hitam, acaiberi, strawberi dan sebagainya boleh membantu mengurangkan masalah jeragat ini.

Photo by freestocks.org from Pexels

Suplemen seperti glutathion dan asid alfa lipoik juga boleh membantu mengurangkan jeragat. Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan asid tranexamic untuk mengatasi masalah jeragat, walaupun terdapat juga kajian yang menunjukkan ia boleh mengurangkan jeragat tetapi ubat ini tidak disyorkan oleh FDA sebagai rawatan khusus untuk jeragat.

4. Dapatkan rawatan profesional dengan doktor yang terlatih jika anda menghadapi masalah jeragat yang teruk. Doktor akan memberikan krim-krim tertentu dan memantau rawatan untuk memastikan ia selamat.

Terdapat juga beberapa jenis rawatan yang dilakukan oleh doktor di klinik untuk merawat masalah jeragat ini seperti rawatan mikrodermabrasi, chemical peeling, rawatan laser suntikan dan ubat-ubatan tertentu.

Photo by Karolina Grabowska from Pexels

Janganlah membeli krim atau ubat-ubat secara atas talian yang tidak diketahui kandungan bahan di dalamnya kerana ia memberi risiko untuk anda mendapat pelbagai komplikasi kesihatan yang lebih merbahaya.

Elakkan daripada mengambil suntikan yang tidak anda ketahui bahan-bahannya daripada individu yang tidak bertauliah ataupun dari pusat-pusat kecantikan kerana ia juga berisiko pada kesihatan yang tidak anda ketahui.

Photo by Piyapong Sayduang from Pexels

HIJABISTA: Amalkan pemakanan yang sihat dengan sayur-sayuran dan buah-buahan. Gunakanlah minyak sihat seperti minyak zaitun, minyak ikan dan minyak kelapa dara untuk memberi kesihatan dan pelindungan kepada kulit selain mengelakkan terjadinya masalah jeragat ini.

Sumber kredit: Top image:  Photo by Kelly Lacy from Pexels

Published by
Norhasliza