Umat Islam perlu yakin kepada kekuatan doa. Senjata orang Islam adalah melalui doa. Oleh itu jangan jemu dan putus untuk berdoa. Maka usahlah jemu untuk terus berdoa. Jadikan ia sebagai sesuatu yang wajib dilakukan usai menunaikan solat.
Setelah bangun tidur di waktu subuh, ucaplah alhamdulillah. Tanda bersyukur, Allah masih memanjangkan usia kita di hari ini, dan berpeluang untuk bertaubat atas segala dosa yang dilakukan.
Kemudian tunaikanlah solat Subuh dengan rasa cinta kepada Sang Khaliq, kemudian bacalah ayat Kursi, iaitu surah Al-Baqarah ayat ke 255 yang bermaksud: “Allah tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. Yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya. Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langi dan yang ada di bumi. Tiada siapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.
Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari kandungan ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki memberitahu kepadaNya.
Luasnya kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya meliputi langit dan bumi, dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah memelihara keduanya. Dan Dia lah yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).”
Dalam Riwayat Al-Hakim ada menyatakan bahawa bagi sesiapa yang membaca ayat ini ketika waktu pagi, maka mereka dijaga daripada gangguan jin hingga ke petang hari, dan bagi sesiapa yang mengucapkannya ketika waktu petang, maka mereka dijaga daripada gangguan jin hingga ke pagi hari.
Ini juga merupakan amalan sunnah yang digalakkan selain daripada membaca al-mathurat.
Begitu juga dengan membaca tiga Qul iaitu surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas.
Mengikut riwayat Abu Dawud dan at-Tirmizi, bagi sesiapa yang membaca ketiga-tiga surah ini di waktu pagi dan petang, maka kehidupan hariannya mencukupi dan selesa daripada segala sesuatu.
Tidak rugi jika kita mengamalkannya, kerana di dalam setiap ayat yang Allah turunkan terdapat begitu banyak manfaat dan kebaikan terutama untuk diri kita sendiri.
Malah hati kita akan menjadi tenang dan tenteram jika kita sentiasa mengingati Allah setiap masa.
“Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah ar-Ra’d)
Sumber kredit: Mohd Ibrahim Top image: Canva
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI