Rezeki manusia dijamin oleh Allah SWT. Sebaik-baik rezeki ialah yang mengandungi nilai keberkatan. Oleh itu janganlah hanya mengejar limpahan rezeki, tetapi kejarlah keberkatan rezeki.
Bukan rezeki yang banyak yang cukup. Kecukupan berkaitan dengan keberkatan. Apabila rezeki itu berkat, banyak atau sedikit menjadi lapang. Namun, apabila keberkatan hilang, lebih kurang boleh membawa kepada kehidupan yang sempit.
1. Doa jangan lupa. Doa hanya perlukan keyakinan, kesabaran, ikhtiar dan istiqamah. Dan semua ini percuma. Orang yang sedang susah boleh berdoa, orang sakit boleh berdoa, orang yang tidak ada wang boleh berdoa. Doa tidak perlukan sebarang “modal”. Setiap hari berdoalah agar diberikan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. (Dalam Secret Group saya ajarkan dengan lebih lengkap tentang ini).
2. Jika terjumpa sampah kecil, kadang mungkin hanya sehelai tisu yang kita tolong buangkan. Alihkan batu tengah jalan. Itu juga boleh membawa kepada rezeki. InsyaAllah. Buat baik selalu. Ingatlah setiap kebaikan akan dikira.
3. Sabar dengan ujian Allah. Ketika orang fitnah, kata yang tidak baik. Atau sebarkan berita yang tidak betul tentang kita… Sabarlah selalu. Jika benar anda difitnah, maka InsyaAllah doa orang yang difitnah tidak ada hijab. Lalu berdoalah yang baik-baik termasuk rezeki yang baik. Jangan sesekali mendoakan hal yang tidak baik termasuk kepada orang yang berkata hal yang tidak benar tentang kita.
4. Selalu permudahkan urusan orang lain. Kadang kecil sahaja bantuan kita. Tapi Allah gantikan dengan rezeki yang tidak disangka-sangka yang besar bagi mu. Bantu beri laluan kepada orang yang melintas jalan ketika memandu, bantu tekankan butang lift, bantu angkatkan anak kecil yang terjatuh dipadang… Semua ini kecil-kecil sahaja bukan? Cubalah.
5. Setiap kali membeli pisang goreng, kuih, air, buah atau sarapan yang dijual di tepi-tepi jalan, bayarlah lebih sedikit. Beritahu penjual nanti untuk sedekahkan makanan jualan mereka kepada orang yang layak. Dengan itu kita dapat bantu perniagaan penjual dan juga bersedekah kepada yang memerlukan.
6. Setiap hari usah lupa untuk bahagiakan orang di sekeliling kita. Ziarah sahabat dan keluarga. Jemput mereka ke rumah. Raikan orang selalu. Semua ini akan membawa kepada rezeki yang tidak disangka-sangka.
7. Senyum selalu. Biar dalam keadaan apapun janganlah berat untuk senyum. Senyum kepada tukang cuci waktu masuk tandas awam dan cashier ketika membeli barang sekali pun. Jangan memilih orang untuk memberikan senyuman. Senyum adalah sedekah yang sangat murah.
8. Banyakkan sedekah. Selalu sangat kita dengar ini kan? Tetapi yakinlah dengan ajaibnya bersedekah. Sedekah makanan kepada guard, ringankan tangan untuk beli jualan orang yang susah namun rajin berusaha untuk berniaga. Bila kita beli, kita bahagiakan mereka. Dulu saya pun berniaga bawah panas tepi jalan. Sukanya walau orang beli barang RM5.00 sekalipun. Duit itulah untuk beri anak-anak makan. Usah hina orang yang susah namun rajin usaha. Hidup kita macam roda.
9. Bercakap yang baik-baik tentang orang selalu. Tulis yang baik-baik selalu. Sebarkan berita dan khabar bahagia yang baik selalu. Ini akan membawa kepada rezeki dan pahala sehingga mati.
10. Ingatlah bahawa rezeki yang tidak disangka-sangka itu tidak semestinya mendapat wang tunai yang besar. Atau keuntungan perniagaan yang besar. Atau menjadikan kita tiba-tiba kaya. Ianya lebih dari itu. Rezeki yang baik boleh jadi kesihatan yang baik pada usia tua.
Kebahagiaan yang tidak dapat ditukar dengan wang ringgit. Bayangkan jika kita duduk dalam limpahan wang namun sakit terbaring di katil. Atau kaya yang amat, namun sering bersedih.
Maka sihat dan bahagia serta ketenangan itu adalah di antara sebaik-baik rezeki juga.
Atau mungkin juga pekerjaan yang baik, jodoh yang baik, jiran yang baik, tiba-tiba didatangkan Allah seseorang yang mempermudahkan urusan kita.
Sumber kredit: Dzuriasikim Dzulkefli Top image: Photo by skyler-ewing from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.