Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial sejak tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai untuk menyalurkan berita berhubung kehilangan abangnya 29 Oktober tahun lalu, selepas lelaki itu gagal dikesan.
Penemuan satu rangka manusia di dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir 10 bulan lepas, menjawab persoalan kehilangan Muhammad Iman Aqmar selama ini. Doa seorang ibu selama sembilan bulan akhinya Allah makbulkan untuk ‘bertemu’ dengan anaknya dalam keadaan apa sekalipun.
Kenderaan itu dijumpai seorang lelaki warga emas semasa dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi. Dilaporkan juga bahawa kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat yang diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Pada 30 Oktober tahun lalu, seorang wanita, Asmawati Kadir, 55, membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya Muhammad Iman Aqmar, 24, yang didakwa gagal dihubungi selepas keluar rumah di Johor sekitar 1 pagi, 29 Oktober 2021 untuk ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.
Semasa itu, Muhammad Iman Aqmar dikatakan memandu Nissan Grand Livina seorang diri dan ahli keluarganya memuat naik gambar mangsa serta kereta itu di media sosial bagi meminta bantuan orang awam mencarinya.
“Alhamdulillah, reda…. saya rasa lega, kepala rasa ringan, saya tahu dia ke mana, Sang Pencipta sudah ambil.” Demikian luahan hati Azmawati selepas selesai pengebumian anak sulungnya Muhammad Iman Aqmar yang ditemukan meninggal dunia di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, Pahang, sejak hilang tanpa berita sejak 29 Oktober lalu.
Ibu kepada dua anak ini turut melahirkan rasa syukur yang tidak henti-henti kerana jasad anaknya ditemui dan segala urusan pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, berjalan lancar.
“Sudah selesai Ya Allah, terima kasih Ya Allah, 24 tahun Allah pinjamkan dia untuk saya.
“Ya Allah syukur Alhamdulillah, dia (arwah) anak yang terbaik untuk saya. Semua sudah selesai perjalanan ini.
“Reda, saya rasa lega, kepala rasa ringan, rindu pada dia sudah hilang. Saya sudah tahu dia ke mana. Ini semua ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di sini, awal pagi tadi.
Menurut Azmawati, dalam tempoh hampir 10 bulan kehilangannya, setiap masa dia teringat kepada arwah.
Katanya, dia sering tertanya dan terfikir ke mana anaknya pergi ketika itu.
“Tempoh yang lama, tetapi sekarang hati saya lapang sangat, sebelum ini beban kerana terfikir-fikir mana anak aku?
“Kalau hujan macam sekarang ini, saya akan fikir abang di mana ya? Sekarang ini saya sudah tahu dia ada di sini, Sang Pencipta dia sudah ambil, saya reda,” katanya.
Jenazah Muhammad Iman Aqmar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Putih, jam 1 pagi hari ini.
Sumber kredit: Harian Metro
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.