Al-Quran ‘Turun’ Sekali Gus Atau Berperingkat? Fahami Pengertian Nuzul Al-Quran

Share

Kita sudah memasuki fasa kedua daripada tiga fasa puasa iaitu 10 malam yang kedua. Dikatakan berlaku Nuzul al-Quran pada 17 Ramadan mengikut sebahagian ahli sejarah. Al-Quran bukan sekadar memberi pedoman ibadah tetapi juga arah petunjuk pelbagai bidang kehidupan seharian manusia.

PENGERTIAN NUZUL AL-QURAN 

Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh:

وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Maksudnya: “Dia yang telah menurunkan hujan.” (Surah al-Baqarah:22)

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ

Maksudnya: “Dialah yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Surah Ali-Imran:3)

TUJUAN AL-QURAN DITURUNKAN

Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandugannya sebagaimana firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah As-Sad: 29)
Photo by RODNAE Productions from Pexels

KEISTIMEWAAN AL-QURAN

Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya.

Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi bersama dengan al-Quran al-Azim.” Antara lain menyebut: Al-Quran kitab Ilahi. Hal ini dijelaskan dengan banyak ayat antaranya:

الر كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِنْ لَدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

Maksudnya: “Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada Allah SWT Yang Maha Mendalam pengetahuannya.” (Surah Hud:1)

Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan memeliharanya.”
(Surah al-Hijr: 9)

Maksud hafizun dalam ayat ini dengan pemeliharaan Allah dari sebarang perubahan dan pertukaran seperti kata Ibn Kathir.

Al-Quran adalah mukjizat. Firman Allah SWT:

قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الإنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ

بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.” (Surah al-Isra’:88)

SOALAN
Kenapa ada yang mengatakan al-Quran turun secara sekaligus atau berperingkat?

JAWAPAN
Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Antara dalil yang menyatakan tentang penurunan al-Quran adalah:

وَبِالْحَقِّ أَنزَلْنَاهُ وَبِالْحَقِّ نَزَلَ ۗ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

Maksudnya: Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmah Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar)

Surah al-Isra’ (105)

Kenyataan bahawa al-Quran turun secara berperingkat-peringkat atau sekaligus sebenarnya bukanlah bertentangan di antara satu sama lain. Tetapi kedua-duanya telah berlaku secara serentak dan secara berperingkat. Hal ini dapat difahami dengan kita meneliti perbahasan tentang hal ini.

Syeikh Abdul Azim al-Zarqani menyatakan bahawa penurunan al-Quran itu terbahagi kepada tiga peringkat. Lihat Manahil al-Irfan fi Ulum al-Quran (1/39)

Peringkat yang pertama, diturunkan al-Quran secara sekaligus pada waktu yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَّجِيدٌ ﴿٢١﴾ فِي لَوْحٍ مَّحْفُوظٍ

Maksudnya: (Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (21) (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.(22)

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam al-Qurtubi dan al-Tabari menyatakan bahawa Luh Mahfuz di sisi Allah dan dipelihara daripada syaitan untuk sampai kepadanya. Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran (10/196), Jami’ al-Bayan fi Takwil al-Quran (12/531).

Peringkat yang kedua adalah penurunan daripada Luh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah atau langit dunia. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ

Maksudnya: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran (Surah al-Baqarah: 185)

Photo by Mona Termos from Pexels

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa ayat ini telah disepakati oleh para ulama’ dan tiada khilaf bahawa penurunan yang dimaksudkan adalah daripada Luh Mahfuz ke langit dunia pada malam lailatul qadar secara sekaligus. Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran (2/297).

Peringkat ketiga adalah penurunan al-Quran secara berperingkat-peringkat daripada langit dunia kepada Nabi SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT:

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ ﴿١٩٣﴾ عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنذِرِينَ ﴿١٩٤﴾بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ

Maksudnya: Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. (193) Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (194) (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

(Surah al-Syu’ara’: 193-195)

Al-Quran telah diturunkan secara sekaligus pada dua peringkat iaitu peringkat penurunan ke Luh Mahfuz dan peringkat kedua penurunan ke Bait al-Izzah atau langit dunia. Inilah yang dimaknakan oleh firman-firman Allah SWT yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan secara sekaligus.

Adapun penurunan secara berperingkat, adalah daripada langit dunia kepada Rasulullah SAW bermula daripada detik awal Nabi menerima wahyu hinggalah yang terakhir.

Photo by Abdulmeilk Aldawsari from Pexels

MATLAMAT AL-QURAN: 

Secara umumnya, al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:

*Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.
*Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.
*Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.
*Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.
*Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.
*Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan kerjasama.

Sumber kredit: Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Top image: Photo by Ed Us iXUXMn from Unsplash

Published by
Norhasliza