Terdahulu, Hijabista pernah melaporkan berkenaan pelakon jelita, Nonny Nadirah yang merupakan anak kelahiran negeri di bawah bayu, Sabah apabila dia kembali mengenakan hijab setelah menghilang dari dunia seni selama tiga tahun.
Hijabista berkesempatan menemubual Nonny, menerusi slot Hijabista On The Way dan dalam video temubual berkenaan Nonny mendedahkan bahawa kejahilan diri adalah punca utama dia menghilangkan diri dan dalam masa tiga tahun itu, dia kembali menemukan dirinya yang sebenar setelah mendekatkan diri kepada Allah.
“Apa sebenarnya tujuan kita dalam dunia ini… apa sebabnya kita dicipta? Dulu Nonny tak tahu, kadang-kadang Nonny bertanya siapa ini, terutama Allah itu siapa? Banyak kali Nonny tertanya macam itu.
“Kadang-kadang orang cakap jangan macam itu, nanti macam kita persoalkan.
Tapi sebabkan kita tak ada basic agama yang betul, itu yang menyebabkan kita keluar dengan soalan-soalan yang pelik,” katanya.
Sedar akan kejahilan diri dan ekoran dangkal ilmu agama, dek kerana tidak mempunyai latar belakang yang baik, Nonny berdoa kepada Allah agar dikurniakan orang sekeliling serta kawan-kawan yang baik, sekaligus membantu dan membawanya ke jalan Allah.
Artikel berkaitan: Selepas 3 Tahun Menghilang, Nonny Nadhirah Buat ‘Comeback, Kini Kembali Bertudung!
“Sebab itu Nonny cuba cari sekeliling Nonny yang terbaik, walaupun latar belakang saya bukan yang terbaik. Nonny memang bukan dari latarbelakang yang baik. Dari keluarga yang bercerai berai, yang memang hidup berasingan dengan keluarga.
“Lepas itu dengan bekerja pula dulu dekat club… Latar belakang memang orang cakap tak baik. Tiba-tiba dapat rezeki masuk industri seni. Nonny pun teruskan macam biasa, tanpa ada guide yang betul. Apa yang Nonny rasa nak buat, Nonny buat,” ujarnya lagi.
Menerusi video temu bual penuh, Nonny menzahirkan rasa syukur apabila dia didampingi dan dikelilingi oleh keluarga dan sahabat yang baik serta sudi membimbing dirinya seperti penyanyi Mila Jirin dan Heliza Helmi.
Selain itu, Nonny juga mengakui bahawa dia kini memperbanyakkan ibadah solat demi mendekatkan dirinya kepada Allah. Menurut Nonny lagi, jika dia meninggalkan solat, dia merasa seolah-olah Allah tidak menjaganya dan pergi meninggalkanya.
Nonny juga turut menitipkan nasihat untuk mereka yang menghadapi masalah yang sama, supaya lebih mengutamakan Allah dalam kehidupan.
Sekadar info, pada 2021, Nonny mula menjadi sebutan netizen apabila memuat naik video dengan penampilan baharu yang lebih seksi sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakan-rakannya.
Artikel berkaitan: “Tuhan Bila Nak Uji, Anytime Dia Boleh Tarik Orang Yang Terlalu Kita Sayang”-Nonny Nadirah Kongsi Detik Hijrah
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.