Dugaan apabila ingin berubah ke arah kebaikan itu memang mencabar. Seperti pelakon jelita Aishah Azman, banyak cabaran yang datang dalam karier lakonannya sejak dia mengambil keputusan untuk berhijab tahun lalu.
Ujar Aishah, dia pernah ditanya oleh pengarah atau penerbit untuk membuka tudung ketika menawarkan watak lakonan untuknya.
“Pun begitu, kalau mereka cadangkan untuk saya buka tudung atau mengenakan wig
, saya memang tak fikir panjang, terus tolak tawaran sebegitu. Kalau mereka nak begitu, lebih baik ambil pelakon yang sememangnya tidak bertudung, saya tak nak buat.“Sebabnya, saya tahu hukumnya haram. Walaupun saya ini boleh dikatakan baru bertudung, tapi saya ada juga banyakkan membaca dan mendengar nasihat ustaz.Tentang hal ini, mereka kata haram pakai wig sebab ia menyerupai wanita yang tak bertudung juga.
“Tapi saya tak risau kerana ramai saja pengarah dan penerbit yang boleh memahami dan menghormati pilihan saya ini kalau saya kata tak nak buat dan terpaksa menolak tawaran dengan cara baik,” katanya.
Selain itu, pelakon berusia 26 tahun itu turut berharap agar penggiat industri tidak meletakkan limitasi watak buat pelakon yang bertudung dan berharap agar diberi peluang untuk mereka melakonkan pelbagai watak lagi biarpun berhijab.
“Kalau boleh, saya nak tukar cara berfikir orang kita, bertudung tidak semestinya kena ada limitasi. Tak semestinya bertudung kena pakai jubah semata. Imej ini juga terbuka kepada fesyen yang bersesuaian.
“Watak tudung saja mesti kena baik, pegang watak-watak yang klise. Sedangkan mungkin boleh diberikan watak psiko dan sebagainya,” jelasnya.
Memang kadang-kala banyak ujian yang datang apabila kita ingin berubah ke arah kebaikan. Namun percayalah, rezeki itu Tuhan sudah tentukan dan pastinya Dia akan mengurniakan keberkatan hidup jika kita berada di landasan yang benar.
sumber: Utusan