Baru-baru ini bekas finalis Miss Universe Philippines 2021, Jamine Umali telah mengejutkan dunia ratu cantik serantau apabila tampil dengan penjelasan yang dia kini bergelar seorang mualaf.
Memilih untuk memeluk agama Islam, dia tampil lebih manis dengan busana tertutup dan dilihat mula berjinak-jinak dengan penampilan berhijab. Bahkan dalam satu hantaran terkini di Instagram, gadis cantik berusia 25 tahun ini menggayakan niqab rona putih dan hanya menampakkan bahagian mata dan dahi.
Menerusi hantarannya itu, dia menerangkan mengenai pemilihannya untuk menggayakan niqab. “Saya mengenakan niqab berbanding pelitup muka, dan ia memberi perasaan yang sangat bagus. Walaupun saya melakukan kerja peragaan dan menyertai Miss Universe Philippines, jauh di dasar hati setiap kali turun dari pentas saya berasa sangat sedar dan cemas.
“Ada banyak sebab kukuh dan penjelasan yang masuk akal mengapa Allah SWT menyuruh kita menutup kepala dan menjaga aurat serta memakai pakaian yang longgar. Namun sebab mengapa saya memilihnya adalah kerana saya cintakan Allah dan Islam,” ujarnya panjang lebar.
Ketika mula-mula dia mengumumkan mengenai pengislamannya, bekas ratu cantik ini turut menampilkan sepotong ayat Al-Quran beserta dengan kapsyen ‘tawakul’ di Instagramnya.
Memilih untuk memeluk Islam, bekas ratu cantik yang mewakili daerah Manila ini tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam. Sebaliknya dia mendapatkan nasihat daripada rakan mualaf yang lain serta meminta tunjuk ajar daripada yang pakar tentang ajaran Islam.
“Tawakkul ialah perkataan untuk konsep Islam iaitu pergantungan kepada Allah atau percaya kepada perancangan Allah. Ia dilihat sebagai kepercayaan yang sempurna kepada Allah dan pergantungan kepada-Nya sahaja. Salah satu sebab mengapa saya memeluk agama Islam adalah kerana prinsip dan juga falsafah Islam dan Al-Quran,” kongsinya lagi mengenai nilai-nilai dalam Islam yang menjadikan dia lebih dekat dengan agama ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Dahulu Berbaju Renang Di Pentas Ratu Cantik. Kini, Miss International 2017 Tampil Menawan Berhijab
Setelah memilih untuk menjadi seorang mualaf, nampaknya wanita ini telah memadam banyak foto di laman Instagramnya yang sebelum ini menampakkan penampilan yang terlalu seksi dan terdedah. Dalam tinjauan Hijabista, kini dia hanya mengekalkan beberapa gambar sebagai model dan juga gambar kenangan ketika menjadi finalis Miss Universe Philippines.
Untuk pengetahuan pembaca, ibu bapa Jasmine merupakan seorang verteran dalam dunia pageant di Philippnes. Bapanya, Vincent Pinto merupakan juara Manhunt International Philpinnes 1997 manakala ibunya pula merupakan pemenang tempat ketiga Mutya Ng Pilipinas.
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Kredit foto: Instagram Jasmine Umali