Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitulah ungkapan yang sering dizahirkan oleh saudara baru tentang Islam. Mereka yang baru memeluk agama Islam ini seperti dilahirkan semula tanpa dosa dan seperti kain putih yang suci bersih.

Alhamdulillah, gembira rasanya setiap kali membaca kisah saudara kita yang baru memeluk agama Islam. Benarlah, hidayah itu datang dalam pelbagai cara. Seperti kisah seorang lelaki berusia 21 tahun ini, yang memilih untuk memeluk Islam selepas tersentuh dengan budi baik yang ditunjukkan oleh rakan-rakan Muslimnya.

Kisah penghijrahan dan pengalaman seorang lelaki yang bernama Muhammad Farhan ini telah turut dikongsikan dalam sebuah buku yang diterbitkan bertajuk A Reverent Journey: Masjid Omar Kampong Melaka: 1820-2020.

Acapkali Hantar Rakan Ke Masjid, Akhirnya Lelaki Ini Terima Hidayah Peluk Islam!

Menjadi sukarelawan di masjid

Menurut Berita Harian Singapura, Muhammad Farhan Yoong atau nama sebenarnya Yoong Chun Keat pada awalnya mendapat pendedahan awal mengenai agama Islam apabila sering menumpangkan rakan-rakan Perkhidmatan Negara (NS) daripada anggota polis Singapura ke masjid untuk menunaikan solat.

Ujar Farhan, dia mula mengenali keindahan Islam selepas penyelianya Fadzil Abdul Rahman(yang merupakan Setiausaha Masjid Omar Kampong Melaka pada waktu itu) memperkenalkannya kepada jemaah masjid hingga dia menurut serta menjadi sukarelawan masjid berkenaan.

Jemaah di masjid tersebut telah menerimanya dengan tangan terbuka dan penuh mesra. Semangat ukhuwah inilah yang membuatkan Muhammad Farhan sanggup menjadi sukarelawan masjid berkenaan dan mengembil bahagian dalam kerja kemasyarakatannya yang melibatkan membantu kelas Quran di kawasan perumahan Jalan Kukoh.

Ads

“Melihat teman Muslim saya membantu orang lain, saya menyedari melakukan kebaikan adalah sebahagian besar cara kehidupan masyarakat Islam.

“Mereka tidak mengasingkan agama daripada kehidupan, semuanya menjadi satu.

“Terdapat cara yang betul untuk melakukan perkara tertentu dan ia menjadi sebahagian hidup anda. Pendekatan sebegini adalah yang saya cari-cari. Justeru, saya menghadiri kursus agama dan akhirnya memeluk Islam,” memetik kata-katanya dalam buku yang telah diterbitkan.

Tambah Muhammad Farhan, dia tidak merasa kekok apabila dikelilingi oleh masyarakat Islam yang tidak penat menunjukkan kegigihan dalam membantu golongan yang memerlukan di flat perumahan sekitar Jalan Kukoh.

Selain itu, dia turut berkongsi bahawa dia turut membantu mengambil guru agama bagi kelas Al-Quran dari rumah ke masjid beserta membawa makanan untuk pelajar dan sebagainya.

Ads

“Kami bukan sahaja membantu orang Muslim. Kami juga mengusahakan agar warga emas daripada semua kaum mendapatkan pemeriksaan perubatan percuma. Kami juga mendidik mereka tentang isu seperti risiko terjatuh.

“Hotel Seacare berdekatan menyediakan lokasi untuk pemeriksaan perubatan ini. Mereka yang hadir termasuk jemaah Masjid Omar Kampong Melaka.

“Saya kini buat lebih daripada setakat kerja kemasyarakatan untuk masjid ini – segala yang saya buat mencorak hidup saya menjadi insan yang lebih baik,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Islam Akhirnya Membuka Jalan Dirinya Bertemu Ketenangan Hidup, Marcell Akui Sudah 12 Tahun Mualaf

Gambarkan diri sebagai seorang yang ‘optimistik’

Berkongsi mengenai latar belakang pendidikan, Farhan terdahulu bersekolah di sekolah swasta dan dibimbing guru-guru daripada latar belakang antarabangsa pada peringkat sekolah menengah dan posmenengah atas keinginan ibu bapanya yang mendapat pendidikan luar negara (bapanya lulusan institusi di United Kingdom manakala ibunya mendapat pendidikan di Australia).

Ads

Muhammad Farhan turut menggambarkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai pemikiran terbuka dan seimbang dalam membantu menjadikan dunia tempat yang lebih baik.

“Kalau ada masalah, saya cuba sebaiknya menghuraikannya. Orang kata buat kesilapan itu baik (agar dapat belajar daripada kesilapan).

“Tetapi saya secara peribadi berasakan tidak baik pula kalau saya bikin silap. Jadi saya cuba elakkan kesilapan.

“Saya bersikap optimistik, rasanya. Saya selalu meninjau cara bagaimana perkara tertentu dapat dilakukan dengan lebih baik lagi,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah Unik Dalam Perjalanan Rohani Mereka, 12 Selebriti Seberang Memilih Peluk Islam

Sekadar info, Farhan merupakan salah seorang belia yang telah menerima watikah pelantikannya sebagai anggota LPM Masjid Omar Kampung Melaka; masjid tertua di Singapura setelah 10 bulan memeluk islam.

Sumber: Berita Harian Singapura

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI