Kisah mengenai seorang bapa saudara yang meluru ke arah anak saudaranya dan memeluk dan menahan badan anak saudaranya yang hampir tumbang pada Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Malaysia semalam benar-benar menarik perhatian ramai.
Abdul Aziz Ya’acob, 60 yang merupakan bapa saudara Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi, 22 berlari hingga terlucut selipar untuk membantu anak saudaranya yang terhoyong-hayang ketika perbarisan.
Pemuda itu pada mulanya mampu berdiri tegak selepas dipeluk bapa saudaranya namun pengsan tidak lama selepas itu.
Menceritakan kejadian itu, Abdul Aziz berkata, dia menghadiri perbarisan itu selepas dijemput anak saudaranya itu.
“Dia hubungi saya, memaklumkan jemputan berkenaan dan beritahu orang lain semua bawa ibu dan bapa, jadi saya takut dia kecil hati saya hadir majlis itu.
“Saya menaiki bas dari Pengkalan Kubor, Kelantan menuju ke rumah anak di Puchong, Selangor sebelum di bawa ke majlis berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, ketika perbarisan berlangsung dia ada menemui Nik Mohamad Adhar selepas habis kawad pertama.
“Saya tanya dia macam mana? Boleh tahan ke, dia maklumkan kepada saya masih boleh, sebab sebelum dia beritahu dia demam.
“Saya beritahu teruskan… kemudian apabila kawad kedua saya lihat dia jatuh, ketika itu saya tidak berfikir panjang dan terus berlari mendapatkannya sebelum memapah serta mengangkatnya.
“Saya beritahu dia, tahan sedikit lagi ini baru kawad, belum lagi alam pekerjaan yang sebenar,” katanya.
@zamanajmain Kasihnya Seorang Ayah #kpdnhep #tamatlatihan #fyp #fy #fypシ #fypシ゚viral #content #contentcreator #xybca #tiktok #tiktokmalaysia #cikgupenjara #henrygurney #youtube #zamanajmain ♬ Yasir Lana – arief akdw
Katanya, dia juga memberitahu pasukan perubatan supaya tidak mengeluarkan anak saudaranya itu dari perbarisan.
“Namun apabila dia jatuh sekali lagi, saya tidak memapahnya kerana risau kesihatannya, dia kemudian diusung keluar. Saya bangga dengannya,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, dia menjaga Nik Mohamad Adhar sejak berusia tiga bulan.
“Tidak ada istilah anak saudara, dia saya anggap sebagai anak saya, layanan saya berikan sama rata seperti anak-anak saya yang lain.
“Sebab itu saya ingin didik dia erti semangat, bila bekerja nanti perlu berikan manfaat kepada orang lain,” katanya.
Untuk rekod, kisah ini dikongsikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato Alexander Nanta Linggi sebelum tular di Facebook.
Sumber kredit: Harian Metro Sumber gambar: Facebook: YB Dato Alexander Nanta Linggi Sumber video: Tiktok Zamanajmain
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.