9 Tahun Jadi Penari, Intan Liana Berhijab Lepas Kahwin. Tak Terfikir Untuk Buka Tudung & Janji Kekal Istiqamah!

Share

Niat untuk berhijrah sudah lama ada tetapi dek kerana tuntutan kerja menyebabkan personaliti ini belum bersedia untuk berhijab. Namun setelah berkahwin, akhirnya dia mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya.

Apatah lagi ketika itu Intan Liana juga turut mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi memberi tumpuan kepada rumah tangga juga atas arahan Imamnya ketika itu.

Namun tiada siapa menduga kebahagiaan yang dikecapi hanya mampu dilalui selama 5 tahun sahaja kerana takdir Tuhan tiada siapa mampu menghalang. Walau diduga ujian maha berat, namun Intan Liana reda dan akan terus istiqamah dengan apa yang telah berlaku.

9 TAHUN JADI PENARI

“Sebelum berkahwin saya dulu adalah seorang penari. Selama 9 tahun menjadi penari sebelum saya mengambil keputusan untuk berhenti setelah berumah tangga. Niat sebelum itu memang ada nak berhijab, tetapi kerjaya sebagai penari tidak begitu bersesuaian ketika itu.

“Setelah berkahwin, saya mengambil keputusan berhijab hinggalah sekarang ini. Tiada siapa mendorong berhijab sebaliknya hidayah datang tepat pada waktunya.

“Sepanjang lima tahun saya berhijab tidak pernah terlintas untuk membukanya. Bahkan saya rasa selesa dan selamat setelah memakainya,” ungkap Intan Liana yang gemarkan fesyen unik sejak dulu lagi. Ramai sudah maklum bahawa dia kini bekerja keras demi menyara kehidupan setelah ditinggalkan suaminya.

“Walaupun diduga saya tidak akan sesekali buka tudung. Biarpun sebelum ini saya memang ada terfikir untuk kerja balik sebagai penari kerana hanya pekerjaan itu yang saya tahu buat. Tetapi bila saya fikir-fikir balik agak susah kerana saya kini sudah berhijab.

Buat masa ini memang saya fokuskan sebagai model Muslimah secara sambilan dan juga banyak buat paid review di laman Instagram. Saya juga tidak terfikir untuk cari kerja tetap kerana fokus dengan apa yang ada ada depan mata dulu,” tambahnya yang mempunyai dua orang anak lelaki berumur 4 tahun dan 2 tahun.

ANAK-ANAK JADI KEKUATAN

Menurut Intan juga anak-anak dan keluarga jadi sumber kekuatannya dalam menghadapi kesukaran yang tidak diduga ini.

“Saya perlu kuat untuk anak-anak. Walaupun kadang-kadang hati saya jadi rapuh dan apabila teringat perkara lalu buat saya menangis. Oleh kerana sebelum ini saya adalah suri rumah tangga, jadi urusan menjaga anak memang terletak pada bahu saya.

 

“Jadi apabila ada sebarang shooting atau kerja, saya akan bawak anak-anak. Susah untuk tinggalkan mereka, lebih-lebih lagi kerana ketika itu anak yang masih kecil masih menyusu badan.

“Cuma kadang-kadang ayah dia akan ambil seorang terutama anak yang sulung. Dalam hal ini saya tidak hadkan hubungan antara ayah dan anak,” jelasnya yang tekad untuk bekerja dengan lebih kuat dan bersungguh-sungguh demi kelangsungan hidup.

Artikel Berkaitan:  Walau Punya Follower Ramai, Intan Tak Minat Jadi Influencer

KREDIT FOTO: INSTAGRAM INTAN LIYANA

 

 

Published by
Siti Zurina