Anda ‘9-to-5er’? Suasana di ofis pasti menyekat kebebasan idea dan memberikan impak kepada ‘mood’ bekerja, lebih-lebih lagi graduan yang baru kerja. Darah muda cepat rasa bosan dengan suasana baru yang belum tahu situasinya. Semangat hambar dan fokus juga barangkali menjunam jatuh. Maka untuk mengelakkan daripada situasi yang menjemukan ini, anda harus bangkit dan hindarkan ia daripada terus terjadi. HIJABISTA kongsi rahsia bukan calang-calang untuk kekal bersemangat sekali gus memacu produktiviti sepanjang hari.
1) KRISIS DIRI
Masalah peribadi adalah penyebab utama anda tidak boleh berasa bahagia yang amat pabila berada di tempat kerja. Oleh itu, pastikan anda meninggalkan masalah peribadi anda tersorok di rumah dan usah membawanya ke ofis. Kawal perasaan dan tetaplah ceria. Jadi seorang yang profesional dan konsisten dalam lapangan pekerjaan. Kala berada di tempat kerja, tetapkan laras fokus dan tumpukan perhatian sewaktu bekerja agar tidak tersasar. Kebiasaan ini mampu membantu anda memperoleh kebahagiaan di tempat kerja.
2) ITEM DEKORATIF
Agar tidak berasakan hambar ketika berada di kotak kubikel, ciptakan suatu suasana yang selesa untuk diri anda sendiri. Jika famili penyumbang kepada semangat untuk bekerja, maka, usah teragak-agak untuk meletakkan bingkai gambar terhias indah di atas meja kerja anda. Hiasi meja kerja atau ruang kerja anda agar berasa seselesa mungkin dan seindah mampu. Terbitkan suasana santai. Namun perlu diingat, apabila merias ruang legar kerja, anda juga harus peka kepada peraturan yang ditetapkan oleh syarikat dan usahlah terlalu keterlaluan.
3) TERAPI MESRA
Menjalin hubungan baik dengan rakan kerja adalah langkah seterusnya untuk lebih bahagia di tempat kerja dan pastinya menepis rasa bosan. Bergaul mesra dengan rakan sekerja yang mempunyai latar belakang dan gaya hidup sama, pasti bakal membuatkan hati makin berbunga-bunga. Tidak salah berkongsi cerita pada waktu rehat atau makan tengah hari. Cara mudah ini sedikit-sebanyak dapat meningkatkan hubungan silaturahim dengan rakan sekerja. Hubungan baik dengan rakan kerja juga boleh membantu anda ‘tika berhadapan dengan sebarang permasalahan. Namun, awas, usah juga terlebih ‘manja’ dengan rakan seperjuangan yang berlainan jantina, ya?
4) JADUAL SISTEMATIK
Merancang sistem kerja dengan teratur mampu membantu seseorang untuk menyelesaikan setiap tugasan dalam masa yang ditetapkan, tanpa berlengah-lengah; kerana tertera “tarikh mati” pada jadual tersebut. Keperluan mengatur jadual ke tempat kerja, waktu rehat dan pulang daripada kerja juga amatlah dituntut. Di samping itu, kerja perlulah dilangsaikan mengikut kepentingan dan manfaatkan kemudahan gajet untuk melancarkan urusan kerja. Pendek kata, jika urusan kerja semakin bertimbun, anda pasti boleh menyelesaikannya dengan hasil maksimum dan tepat pada waktunya, kerana ‘practice makes perfect’.
5) IMPAK NUTRISI
Untuk lebih menghargai pekerjaan, hal paling mudah yang boleh dilakukan adalah fokus ketika menyudahkan setiap kerja. Fokuslah pada sesuatu yang positif hingga menimbulkan rasa tenang saat berada di tempat kerja. Selain itu, peliharalah kesihatan tubuh anda. Makan makanan berkhasiat dan gandakan meminum air putih dan cuba untuk mencari peluang untuk beriadah. Elakkan stres berlebihan jika berhadapan dengan masalah kerja.
6) JADUAL 15 MINIT REHAT
Jangan hanya berehat ketika waktu tengah hari sahaja. Peruntukkan sedikit masa untuk meregangkan anggota badan dengan melakukan senaman ringkas.
7) MEMBAWA BEKAL YANG SIHAT & LAZAT
Usahakan untuk sering membawa bekal makanan ringan yang sihat ke pejabat seperti potongan buah atau salad sayur. Makanan ringan ini akan membantu menokok tenaga dan meningkatkan produktiviti anda. Tidak perlu bimbang andai berat badan meningkat memandangkan nutrisi daripada buah dan sayur amat bermanfaat untuk tubuh.
8) BERJALAN-JALAN
Berjalan adalah salah satu cara untuk menguatkan tenaga di pejabat. Berjalanlah pada kadar cepat semasa makan tengah hari atau tika melangkahkan kaki ke ruangan pejabat yang lain untuk mesyuarat. Sedikit berpeluh akan membuatkan anda mencapai keadaan tubuh yang lebih prima.
9) KAWALAN FIKIRAN
Berfikir secara berlebihan membuatkan anda lebih tertekan. Hal ini akan membuatkan anda memilih untuk meminum secangkir kopi, makanan ringan yang berlemak dan tidak berehat dengan secukupnya. Jadi, jika fikiran sedang ‘penat’, pilihlah untuk berehat atau melakukan teknik pernafasan agar lebih santai. Dengan mengaplikasikan tip di atas, kesibukan di pejabat tidak akan mampu membuat keadaan produktiviti badan menurun. Usah lupa, untuk menyediakan air suam di samping anda ya. ‘Happy working ladies!’
ARTIKEL BERKAITAN: 6 Item Wajib Ada Untuk Tampil Stailo & Yakin
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI