Sepanjang lapan tahun bergelar ‘Ustaz Selebriti’, Imam Muda Asyraf mengakui memang tidak terlepas dari dihambat gosip atau dakwaan tidak berasas. Terbaru beliau dikaitkan mahu berkahwin lain dengan seorang gadis muda yang juga merupakan pekerja di butiknya. Namun jawapan diberikan ini pastinya turut mengecewakan ramai wanita di luar sana yang menaruh hati kepadanya.
Tatkala di tanya padanya berhubung dakwaan ini, bapa kepada tiga cahaya mata itu menafikan mahu mencari isteri muda kerana belum mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Mana ada. Sebelum ini saya ada dengar khabar angin ini tetapi apa saya boleh katakan sekarang saya belum mampu lagi. Semua lelaki teringin tetapi saya tiada perancangan ke arah itu.
“Keluarga sedia ada ini pun saya rasa belum cukup mampu untuk memberikan sepenuh masa, apatah lagi untuk tambah ‘cawangan’. Saya rasa tumpuan diberikan untuk keluarga saya sekarang.
“Tetapi siapa yang ada perancangan silakan jika mampu. Saya rasa belum cukup mampu untuk merancang nak ada gosip dengan sesiapa. Setakat yang ada sekarang ini nak balik rumah pun tak sempat,” ujarnya yang telah mendirikan rumah tangan dengan isteri tersayang, Nur Hussa Yussof sejak 2010 dan dikurniakan dua anak lelaki, Aisy Raihan dan Aisy Abdurrahman serta seorang perempuan, Setiaku Aisyah.
Mengakui cukup beruntung mempunyai isteri yang memahami tugasnya dalam mendidik masyarakat melalui medium dakwah.
Justeru beliau sebenarnya agak tidak selesa untuk menceritakan semua hal rumah tanga di media massa kerana baginya orang bukan sekadar lihat apa yang disampaikan tetapi juga fokus kepada cara hidup kita.
Bukan mudah untuk bergelar selebriti, apatah lagi jika personaliti di bawa lebih kepada pembawakan Islamik. Namun itu bukan alasan untuk lari dari tanggungjawab dalam menyebarkan ilmu kepada semua lapisan masyarakat.
Bagi Imam Muda Asyraf atau lebih dikenali dengan Ustaz Selebriti, beliau sebenarnya berterima kasih kepada pihak Astro yang telah ‘create’
dirinya dengan title begitu. Malah diam tak diam sudah hampir 8 tahun berada dalam industri ini dalam situasi berbeza.Berdepan tempoh 8 tahun itu untuk terus kekal kukuh dan ‘maintain’ bukanlah satu tugas yang mudah. Malah jika salah sedikit perilaku atau komen dikeluarkan boleh menyebabkan dirinya berada dalam imej yang tidak bagus.
Bagaimanapun Imam Muda Asyraf mengakui pelbagai dugaan dihadapi sepanjang menjadi ‘public figure’ dan sering dihambat gosip, tetapi baginya ia adalah satu perkara biasa.
“Perlu ada kekuatan untuk berdepan masyarakat, media dan sebagainya. Setakat ini segala cabaran dapat saya tangani dengan baik.
“Kalau nak ikutkan memanglah seronok, glamour atau jadi ustaz nakal, tetapi saya memandang lebih jauh kerana apa yang saya bawa bukan sekadar nama sendiri tetapi gelaran ustaz itu sndiri,” ujarnya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka dan pemenang peraduan Wefie Raya Jus Hidayah Gold Serai Mas di Ruang Shah Alam.
Menurutnya juga memang ada yang bergurau dan menghubunginya beberapa kali untuk bertanyakan soalan, tetapi biasanya akan dijawab dengan baik. Jika ada rasa yang tidak kena perbualan terhenti di situ sahaja.
Sebagai seorang ustaz juga Imam Muda Asyraf akan berusaha mengelak menggunakan status itu sebagai tiket untuk mudah di dampingi mana-mana wanita hinggakan timbul dakwaan tidak berasas. Beliau sebaliknya meletakkan dirinya sebagai ustaz yang hanya menjalankan tugas sebagai pendakwah
Dalam majlis berkenaan, Imam Muda juga turut dilantik menjadi duta bagi produk Jus Hidayah Gold. Mengambil masa lama untuk menerima tawaran diberikan sebelum itu dan hanya bersetuju setelah perbincangan dilakukan di kedua-dua belah pihak.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM IMAM MUDA ASYRAF