7 Tip Berpakaian Yang Boleh Hijabi Praktikkan. Yang Penting, Tutup Aurat Mengikut Suruhan Allah

Share

Wanita memang suka kelihatan cantik dan bergaya. Tentu rasa tak lengkap rasanya kalau seharian tidak melihat cermin. Tidak salah kalau nak bergaya cuma sebagai seorang wanita beragama Islam, anda perlu berpakaian mengikut syariat yang telah ditetapkan.

Jika dilihat, ramai wanita masa kini yang berpakaian ala kadar. Memang sudah menutup aurat tetapi pakaian yang dipakai terlalu ketat hingga menampakkan bentuk tubuh. Seharusnya sebagai seorang muslimah, anda seharusnya tahu apa yang boleh dipakai dan apa yang tidak boleh dipakai.

Jadi, sebelum anda membeli satu pakaian itu, ambil kira perkara-perkara ini terlebih dahulu.

1. Menutup Kepala & Betis Di Hadapan Lelaki Ajnabi

Dari Fatimah binti Qais diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata:

Sesungguhnya aku tidak suka jika tudungmu terlepas atau terbuka kain yang menutupi kedua betismu.” – Hadis Riwayat Muslim

2. Labuhkan Pakaian

Firman Allah Taala yang bermaksud:

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan jilbab (pakaian) mereka ke atas tubuh mereka; cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Surah Al-Ahzab: 59

3. Menutup Dada

Firman Allah Taala yang bermaksud:

Dan, janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

” – Surah An-Nur: 31

4. Tidak Menyamai Pakaian Agama Lain

Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka.” – Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud

5. Tidak Bertelanjang

Ada dua golongan penghuni neraka yang belum pernah aku lihat… dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang.” – Hadis Riwayat Muslim

6. Elak Memakai Wangian Yang Mengghairahkan

Sekiranya seorang wanita memakai wangi-wangian untuk menghilangkan bau yang kurang enak pada badan, ia diharuskan. Tetapi jika bertujuan untuk memikat lelaki sehingga menyebabkan mereka ghairah untuk mendekati, maka dilarang sama sekali. Sekiranya anda memakai wangian untuk suami, ia dikira sebagai ibadah.

Dari Abu Musa Al-Asya’ari, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Apabila seseorang wanita memakai minyak wangi, lalu dia melewati suatu kaum hingga mencium aromanya, maka dia adalah wanita begini dan begini. Rasulullah s.a.w menyatakannya dengan nada tinggi.

7. Tidak Menyerupai Pakaian Berlainan Jantina

Elakkan daripada memakai pakaian yang berlainan jantina hingga mengelirukan orang ramai yang melihat. Jadi, sarung pakaian yang sesuai dengan peribadi anda sebagai seorang wanita Muslim yang sentiasa memelihara diri ketika keluar dari rumah.

Sumber: Tazkirah.net

Published by
Naqiyatul Uzma