Tidak dinafikan gaya hidup masa ini yang semakin mengejar kemajuan menyebabkan kita sentiasa berada dalam keadaan ‘stress’. Masalah ini bukan sahaja disebabkan urusan kerja di pejabat, tetapi juga perihal anak-anak dan suami. Malah beban kewangan atau alami masalah kesesakan jalan juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami ‘stress’ hingga mengakibat depresi atau kemurungan. Perkongsian wanita ini yang pernah berdepan masalah ini tetapi sempat pulih sebelum keadaan menjadi semakin teruk. Bukan setahun dua tetapi bertahun-tahun Nazia Suhaimi berdepan masalah ini dan akhirnya berjaya melawan masalah kemurungan ini.
Beberapa tahun saya hidup menahan emosi yang bercelaru, tak boleh tidur malam, bila tidur mimpi menakutkan. Takut nak tidur. Bila tertidur, mimpi tadi sambung semula!
Bila waktu siang, tak cukup rehat. Dengar anak menangis, menjerit, melalak, melolong. Rasa nak tampar-tampar je si anak. Bingit! Kalau kurang sabar, sikit lagi nak dera si anak!
Bila turun lif, rasa macam akan mati terhempas.
Bila bawa kereta, rasa macam bila-bila masa akan mati kemalangan.
Bila bawa anak ke kedai, bila-bila masa rasa anak akan diculik.
Bila dah mula fikir macam-macam, dada berdenyut kencang, nafas berombak, dahi berpeluh dingin, tangan menggeletar.
Ya Allah apa dah jadi dengan aku ni.
Tak tahan. Badan penat tapi nak rehat pun tak boleh.
Sampai satu tahap rasa nak berhentikan semuanya tapi macam mana nak berhenti?
Dah ambil wuduk, dah solat, dah doa, dah minta ampun suami, dah maafkan semua orang.
Sudahlah rasa diri tak guna, tak dihargai, takut. Sekarang rasa risau melampau mula makan diri.
Aku nak mati! Aku cuma nak stop! Tak tahan! Jerit hati.
Tapi tak boleh mati, Allah tak terima orang mati bunuh diri.
Dalam menghadapi situasi ini dia masih mengingati Allah.
Saya doa banyak-banyak, Ya Allah tunjukkan aku jalan apa yang paling baik buat akhiratku.
Saya berkahwin dengan jodoh yang sangat baik. Pada awalnya suami saya pun pening dengan “mental” saya tapi beliau sangat sangat sangat sabar.
Sepanjang rasa sengsara, 7 tahun lamanya. Satu pagi saya bangun, saya nekad untuk sihat. Saya sangat penat dengan diri sendiri. Penat rasa nak mati. Penat rasa beban. Penat rasa “mental”.
Dan saya bangun dan fight semua ketakutan. Saya terima kegagalan saya. Saya terima kelemahan saya.
Dan saya belajar untuk bersyukur.
Orang tanya saya macam mana nak sihat? Pecahkan tembok ketakutan, kegagalan, rasa malu, rasa rendah diri. Sabar. Satu-satu tembok akan pecah dan kita akan berani keluar dari “gua” kita.
Hari ini saya mampu bercakap secara terbuka tentang sakit mental yang saya alami.
Hari ini saya mampu tersenyum dengan ikhlas tanpa perlu dipaksa.
Hari ini saya bangga menjadi seorang surirumah dan ibu kepada anak-anak saya.
Hari ini saya mampu terima kegagalan saya dan saya akan kembali sambung belajar.
Hari ini saya ada matlamat hidup setiap hari. Kenapa saya mesti hidup pada hari ini.
Hari ini, sama ada keadaan baik atau buruk. Saya tetap hargai apa yang terjadi.
Hari ini saya belajar untuk bersyukur bagi setiap detik.
Macam mana pula dengan hari anda?
Saya bergegas ke klinik kesihatan berdekatan. Bila masuk bilik jumpa doktor. Doktor tanya ya awak sakit apa? Masa tu saya dah tak ambil pusing seorang lagi doktor dan pesakitnya.
“Saya rasa nak mati”
Pada masa ini saya cerita semua yang saya alami. Doktor lebih banyak diam sambil-sambil menaip di komputer.
Tak lama kemudian, keluar salinan surat untuk dirujuk ke hospital.
Saya kemudian ke hospital. Serah surat bahagian psikiatri. Tak lama kemudian doktor pakar panggil masuk.
Awak seorang? Ya pada masa ini suami saya ada komitmen kerja. Saya bawa anak-anak. Doktor tanya kenapa dan saya ulang cerita macam di klinik tadi tapi kali ini air mata saya menitik lebat.
Tak ada malu lagi. Saya mahu sihat.
Doktor dengar dengan baik apa yang saya katakan. Sangat melegakan bila doktor kata “ini adalah satu penyakit dan bukan salah awak”
Sepatutnya saya perlu ditahan wad, disebabkan anak kedua saya masih menyusu badan jadi doktor nasihatkan saya berehat dirumah saja.
Saya diberi ubat yang agak kuat buat 2 minggu pertama. Lebih banyak tidur. Kerja rumah semua ke laut. Mujur suami saya balik tengah hari belikan makanan.
2 minggu kemudian saya kembali berjumpa doktor. Kali ini rasa nak mati, risau sudah mula berkurang sedikit.
Sebulan kemudian, rasa nak mati itu sudah tiada. Risau, down masih ada tapi tidak seteruk bulan-bulan sebelumnya.
Kemudian jarak appoiment bersama pakar berkurang dari 3 bulan dan sekarang 5 bulan untuk temujanji seterusnya.
Ianya tidaklah teruk sangat seperti yang digambarkan oleh stigma masyarakat yang kononnya bila jumpa pakar sakit jiwa, kita ini GILA. Bahkan sewaktu saya menunggu giliran untuk berjumpa doktor, ada juga pesakit lain yang berpakaian kemas siap bertie lagi.
Untuk mula dapatkan rawatan, anda sendiri perlu BERANI untuk berterus-terang dengan doktor.
Sebelum ini, memang saya sudah dapatkan rawatan tapi KESILAPAN saya, saya berhenti makan ubat dan jumpa doktor SERTA-MERTA kerana pada masa itu saya rasa saya macam orang GILA.
Kesannya, bila default (berhenti dapatkan rawatan) kesan sakit akan jadi lebih teruk dan untuk sembuh, perlu ambil ubat untuk masa yang lebih panjang.
Saya sendiri dijelaskan oleh doktor, untuk turunkan dos ubat bagi rawatan saya, mungkin mengambil masa lebih kurang 2 tahun.
Pengambilan ubat memang akan ada kesan pada hati, pada masa yang sama doktor nasihatkan saya untuk jaga pemakanan dan bersenam
1. Saya amalkan istighfar sepanjang masa. Kebergantungan pada Allah kena kuat.
2. Saya cuba aroma terapi dengan Young Living essential oil (EO). Ada masa, walaupun sudah makan ubat tapi saya masih sukar untuk tidur. Jadi saya calitkan saja sedikit EO di bantal.
3. Saya mula kurangkan makan benda yang manis, fast food, cikedis dll
4. Petang-petang riadah dengan anak-anak (lebih kurang bersenam)
5. Mula wujudkan hobi sebagai terapi (sebelum ni hobi pun tak ada sebab terlalu sibuk risau macam-macam)
6. Bergaul dengan orang. Satu tahap saya pernah rasa terlalu takut nak berjumpa dengan orang. Jiran datang ketuk pintu, saya lari masuk bilik. Pada awal pengalaman ambil job wedding photography, saya kena panic attack sebab macam terkejut ramai sangat orang, muzik kuat. Rasa nak pitam, nak muntah, mata pun dah naik juling, semua ada.
Job-job seterusnya pun saya masih kena panic attack tapi jangan risau, ianya akan berkurang.
7. Akhir sekali, paling penting, UNFOLLOW semua yang bawa perkara negatif. Kita nak positif kena buang semua perkara yang tak baik. Kalau perlu unfriend, left group, delete account, buat saja. Bukan nak putus silaturahim pun. Jangan sampai dekat luar pun tak tegur.
8. Muka mesti mau senyum.