Sebuah rekaan blazer mampu menghasilkan gaya fesyen yang lebih sofistikasi dan formal.
Pun begitu, jika anda bijak melakukan padanan pada rekaan blazer yang anda miliki, anda mampu menghasilkan stail fesyen yang lebih dari itu!
Bagi anda yang sukakan rekaan ‘outerwear’ terutamanya apabila ke pejabat, apa kata anda cuba lakukan tip fesyen ini dengan hanya menggunakan rekaan blazer yang ada di dalam almari anda!
Gaya Sofistikasi
Untuk anda yang begitu menekankan perincian gaya dari atas hingga ke bawah, anda boleh melakukan tip fesyen ini. Sarungkan rekaan kemeja hitam atau putih sebagai helaian dalaman, dan padankan dengan rekaan blazer yang formal seperti double-breasted blazer ataupun single breasted one button. Pilih celana ala slack untuk mewujudkan gaya formal yang sememangnya mewah dan eksklusif.
Gaya ini sesuai untuk anda yang inginkan kekemasan dalam pengayaan anda terutamanya ketika di pejabat. Lebih menarik jika dipadankan dengan kasut tumit tinggi! Barulah persis ‘lady boss’ yang disegani!
Padanan Bersama Turtleneck
Bagi anda yang masih mahukan gaya yang formal tetapi memiliki sedikit elemen kasual dalam fesyen anda, apa kata anda cuba sarungkan helaian turtleneck bersama dengan blazer anda! Meskipun ia tidaklah memiliki aura yang formal seperti gaya di atas, namun ia masih mampu memberikan kekemasan dalam stail anda. Usah pilih fabrik yang terlalu tebal kerana ia mungkin akan memberi rasa tidak selesa pada tubuh anda. Lebih elok sekiranya anda memilih fabrik jenis cotton yang lebih sejuk, selesa dan ringan.
Triknya, pilih rekaan turtleneck yang kosong tanpa sebarang cetakan untuk menjadikan gaya anda lebih mahal dan tidak terlalu ‘bersungguh’ dalam stail fesyen anda!
Aura Feminin
Siapa kata rekaan blazer tidak boleh dipadankan dengan helaian skirt labuh? Sebenarnya, untuk gaya yang kasual, rekaan blazer seperti single breasted two buttons ataupun double-breasted 6 buttons 3 to close antara rekaan blazer yang boleh dijadikan sebagai penambah gaya kasual. Apa yang penting, pemilihan warna harus bijak dan tidak terlalu kuat seperti merah, hijau terang ataupun biru terang kerana ia akan menjadikan keseluruhan gaya nampak pelik.
Lebih baik sekiranya anda memilih pilihan warna pastel yang lebih lembut dan ‘sejuk’ untuk gaya fesyen ini.
Oversized!
Lagi tentang gaya fesyen kasual bersama rekaan blazer, cuba anda padankan sehelai t-shirt kosong bersama dengan skinny jeans ataupun wide leg pants, dan serikan gaya fesyen anda dengan rekaan blazer yang oversized! Potongan yang sedikit besar dan lebar mampu menjadikan gaya fesyen anda bold kerana volumnya yang lebih besar dan jelas!
Khas untuk anda yang mementingkan kelainan dan keselesaan dalam gaya fesyen anda, rekaan blazer yang oversized ini sememangnya harus ada dalam almari baju anda! Pilih sahaja warna-warna gelap seperti hitam, kelabu, biru gelap dan warna tanah untuk memudahkan proses mix & match anda!
Ala Sporty
Ketepikan dahulu istilah formal dalam gaya fesyen anda bersama dengan rekaan blazer. Apa kata anda lakukan sedikit kelainan dengan menghasilkan gaya fesyen ala sporty yang sememangnya memberikan gaya yang chic and fun!
Padankan rekaan blazer anda dengan helaian t-shirt bersama-sama dengan kasut sukan. Mudah bukan? Apa yang penitng, pemilihan warna tidak berwarna-warni dan cukup dengan satu tona sahaja!
Pilihan Fabrik Yang Sesuai
Bukan hanya dari segi potongan semata-mata, malah pemilihan fabrik yang tepat juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan gaya fesyen yang tepat dan ‘on-point’! Jika anda mahu bergaya dengan rekaan blazer untuk majlis formal, pilih fabrik yang lebih tebal dan berat seperti worsted wool, linen atau windowpane. Pilihan fabrik yang sedikit berat memberi impak yang memukau apabila rekaan blazer ‘terletak’ elok pada tubuh dan sangat kemas!
Jika inginkan gaya yang kasual, pilih fabrik yang lebih ringan seperti sutera, cotton ataupun cotton linen.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini