Dalam menelusuri zaman serba canggih, rekaan kaca mata semakin dinaik taraf dan bervariasi. Ia sekali gus mencipta trend yang acap kali menjadi pilihan anak muda masa kini khususnya buat para hijabi yang sentiasa mendambakan stail baru untuk diperagakan.
Penggunaan kanta lekap klasik mahupun berwarna agak tersasar ke belakang kerana telah ramai yang tahu mengenai kesihatan dan kesannya kepada mata.
Walaupun dengan kanta lekap ini mampu memberi kebebasan kepada pandangan, namun aspek kesihatan perlu menjadi esennya.
Paten dan nuansa yang pelbagai mampu melengkapi penampilan walaupun berhijab. Ada caranya buat anda yang mahu menjadikan kaca mata ini sebagai aksesori bagi tampil sempurna ketika bersosial bersama teman.
Dengan penggayaan yang betul, gaya selendang pasti lebih menonjol, ‘stylish’ dan menepati fesyen mutakhir.
Ayuh, kita perhatikan satu-persatu informasi berguna ini buatmu wahai hijabi. Bagi mewujudkan rasa gah dalam keterampilan, berikut merupakan beberapa metod yang boleh anda amalkan.
Siapa tahu, andalah ‘trendsetter’ yang dicari-cari.
Ia merupakan cara untuk anda menyuai padankan gaya hijab yang sesuai buat anda yang berkaca mata. Hanya pinkan hijabmu pada bawah dagu diikuti dengan penggayaan kaca mata. Seterusnya, baru anda boleh menggayakan mengikut cita rasa yang diinginkan. Disarankan untuk menghasilkan gaya hijab yang beralun berbanding gaya melekap pada muka kerana ia akan memberikan efek kaku pada wajah mulus anda.
Dengan melakukan cara ini, anda boleh menghasilkan stail yang lebih selesa dan tidak membentuk ruangan di antara kaca mata dengan hijabmu. Penggayaannya pasti membuatmu lebih tampil yakin di khalayak umum. Bagi seorang ‘stylist’, langkah ini bagi mengelakkan kecacatan pada penampilan model yang anda pilih. Begitu mudah dan selesa tatkala menggayakan kaca mata yang bervariasi bentuk dan warna. Model anda juga mampu beraksi yakin di hadapan lensa kamera.
Bagi anda yang berkaca mata dan masih baru dalam berhijab, mungkin rasa tidak yakin menyelubungi diri untuk bergaya dan berjumpa teman akrab. Ia bukanlah menjadi satu kepelikan buat anda. Apa yang harus anda lakukan adalah dengan terus menerus melakukan eksperimen gaya hijab yang bersesuaian dengan wajah dan bentuk kaca mata anda, termasuk pemilihan rona hijab. Tidak menjadi masalah jika warna kaca mata anda adalah neutral namun jika ia berwarna agak menonjol, anda perlu rajin menyuai padankannya.
Semoga perkongsian ini mampu memberi inspirasi buat hijabi di luar sana dan jangan terlalu merendah diri dalam menonjolkan stail. Apa yang anda gayakan adalah diri sebenar anda.