Kebiasaannya soal jodoh sering menjadi bualan harian, terutamanya apabila melihat rakan-rakan lain semua dah berkahwin. Ada yang terus-menerus mencari jodoh yang sesuai. Ada juga yang berserah sepenuhnya. Jodoh itu rahsia Allah. Namun, perlu ada doa seiring usaha termasuklah 13 amalan rahsia ini yang boleh anda cuba amalkan untuk ditemukan jodoh.
1. JAGA SOLAT DI AWAL WAKTU
Kadang kala terfikir juga bila masanya untuk kahwin ini. Terasa jodoh itu sangat lambat datangnya. Tapi pernahkah kita bila kedengaran azan, terus bangkit untuk menunaikan solat tapi yang selalu kita buat melengah-lengahkan tuntutan solat tu. Sama jugaklah dengan jodoh kita.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Solat pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah ”Riwayat al-Tirmizi
2. BETULKAN NIAT PERKAHWINAN
Kita kena betulkan niat kita berkahwin adalah untuk mendapat redha Allah. Itulah sebenarnya matlamat hidup kita. Bukan hanya kerana bersandarkan nafsu semata-mata atau mahukan populariti.
3. BACA SURAH YAASIN SETIAP PAGI
Surah Yaasin merupakan hati atau jantung Al-Quran. Biasanya surah Yaasin kerap dibaca pada malam Jumaat atau ketika melawat orang sakit atau yang meninggal dunia. Namun, surah ini jika diamalkan setiap hari, banyak manfaat yang bakal kita dapat. Allah akan mudahkan segala urusan hati itu. Bagi yang tiada jalan keluar pun Allah akan permudahkan. Insya-Allah.
4. BACA SURAH AL-WAQIAH SETIAP MALAM
Amalan surah al-Waqiah akan memberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah termasuklah jodoh.
Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya:
“Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.”Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.
5. BERTERUS-TERANG
Bila kita hendak hilangkan bebanan dihati kita, rasanya tidak salah untuk kita berterus terang kepada lelaki yang kita suka. Jika ada jodoh Insya-Allah kita akan membina cinta yang halal. Selebihnya serahkan saja pada Allah. Jika tidak berjaya, ingatlah bahawa ada yang lebih baik Allah sediakan untuk kita.
6. JANGAN TERLALU MEMILIH
Sikap memilih ini juga penting tetapi jangan berlebih-lebihan kerana tiada yang sempurna. Ini juga penyebab melambatkan jodoh kita untuk datang. Ada yang sudah dirisik oleh calon yang sesuai dan dia bersedia untuk terus menikah, namun ditolak disebabkan faktor-faktor tertentu. Jodoh kita sebenarnya cerminan diri kita. Masing-masing ada kelemahan dan kekuatan tersendiri. Asalkan agamanya dan akhlaknya baik dan mereka datang dari keluarga yang baik-baik, itu sudah cukup untuk dijadikan pilihan.
7. CARI KEBAIKAN ORANG LAIN
Kita semua tiada apa-apa kerana semuanya milik Allah. Jauhi sikap memandang rendah kepada orang lain dan berbangga dengan apa yang kita ada. Kita semua sama. Allah boleh beri dan ambil bila-bila masa yang Dia mahukan.
8. TAHAJJUD SETIAP MALAM
Bangunlah di sepertiga malam. Jika tidak mampu, cukup sekadar dua rakaat. Beberapa minit sebelum Subuh masih sempat untuk kita amalkan. Itu juga sudah dikira sebagai tahajjud. Dan berdoalah. Doalah apa saja. Allah sayang hamba-Nya yang sentiasa bertahajjud dan meminta doa kepada-Nya. Di saat insan lain terlena, kita bangun dan beibadah kepada-Nya. Dan cubalah untuk menangis setiap kali kita bertahajjud. Dengan izin Allah, doa kita sangat makbul saat kita berserah segalanya dan merayu kepada-Nya.
9. BANYAKKAN SENYUM DAN SEDEKAH
Selain dari sedekah berupa wang ringgit, senyuman juga sebenarnya sudah sebahagian daripada sedekah. Senyum juga menarik orang di sekeliling untuk sukakan kita. Senyum-senyum jugak tapi pandangan tetap perlu dijaga. Hatinya tenang tanpa resah, malah rezekinya pasti berlipat kali ganda. Jodoh itu juga sebahagian daripada rezeki. Bersedekahlah!
10. MENJAUHI PERKARA HARAM DAN MAKSIAT
Kita tidak bahagia saat kita berbuat dosa. Dosa kita itulah sebenarnya yang membuatkan kita jauh daripada Allah. Sebenarnya hidup kita akan bahagia saat kita sentiasa ingat akan Allah. Tidak semestinya saat kita sudah ada pasangan, barulah kita bahagia. Islam itu mudah kepada orang yang hatinya kenal Allah. Hidup ini juga akan mudah saat kita kenal Allah. Bahkan perkahwinan juga akan mudah bila kita kenal Allah. Itulah kuasa Allah. Subhanallah.