Kaum wanita memang tidak boleh dipisahkan dengan produk kecantikan. Pantang mendengar ada produk terbaru atau yang boleh hilangkan masalah wajah seperti jerawat, jeragat, jerawat atau yang boleh cerahkan kulit pasti akan cepa-cepat kita dapatkannya. Kadang-kadang tak perasaan ada sesetengah produk itu tidak mendapat kelulusan hingga boleh mendatangkan masalah. Seperti yang berlaku oleh seorang wanta, Mastura Abu Bakar, 36 dari Melaka yang mengalami bengkak muka selepas menggunakan produk kecantikan dibeli secara online.
Menurut laporan Sinar Harian Online, Mastura yang sebelum ini telah menggunakan produk berkenaan sejak awal tahun ini. Dan minggu lalu dia membelinya dari seorang pelajar kolej yang menjual produk berkenaan dengan harga RM50.
Namun selepas menggunakannya dia bukan sahaja mengalami pedih, tetapi mukanya bertukar kemerahan dan sakit pada kulit. Malah bukan itu sahaja, lebih teruk pipinya membengkak dan mata sukar dibuka.
Keadaan ini menyebabkan aktiviti hariannya terganggu termasuk sukar tidur selepas menggunakan produk berkenaan.
“Sebelum ini saya pernah beberapa kali guna produk sama dan nampak perubahan kulit wajah semakin cantik dan licin.
“Tapi bila gunakan produk yang baru dibeli sejak Khamis lalu, muka saya mula bengkak dan terasa pedih dan sakit pada hari Sabtu,” katanya.
Akibat kejadian itu, katanya, dia yang sepatutnya pergi bercuti bersama rakan-rakannya hujung minggu lalu terpaksa membatalkannya kerana tidak tahan kesakitan dialami.
“Disebabkan tak tahan sakit, saya terus pergi klinik kesihatan dekat rumah dan diberi beberapa ubat. Esok (hari ini) saya akan dirujuk ke pakar kulit Hospital Melaka pula.
“Apa yang saya lalui ini buat saya serik, trauma dan takut untuk guna produk kecantikan lagi. Saya harap bengkak ini akan susut dan tak sanggup lagi terus menerus menahan sakit sejak beberapa hari lalu,” katanya lagi.
Dia yang bekerja sebagai pembantu butik pakaian di Dataran Pahlawan berharap kisahnya itu dapat menjadi iktibar kepada orang lain supaya tidak terlalu taksub untuk kelihatan cantik sehingga terpaksa menanggung malu dan kesakitan.
Sementara itu, Doktor Perubatan Estetik, Dr Aidil Azry Datuk Mokhtar berkata, kebanyakan produk yang memberi kesan cepat seperti produk pencerahan wajah mengandungi bahan seperti raksa, hydrouinone, tretinoin, asid azleaik dan betamethasone.
Menurutnya, bahan-bahan berkenaan boleh menyebabkan kulit menjadi semakin nipis, kemerahan, sensitif dan mudah terdedah kepada penyakit lain termasuk kanser kulit.
Malah, katanya, sepanjang tahun ini sahaja, dia didatangi lebih 20 pesakit yang mengalami masalah kulit disebabkan penggunaan produk kosmetik yang mengandungi bahan itu serta yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan sehingga ada sukar untuk dirawat seperti melanoma.
“Saya nasihatkan pengguna lebih berhati-hati dalam memilih produk kecantikan. Jangan mudah terpedaya produk yang cepat memberi kesan pencerahan sehingga mengalami pengelupasan kulit yang teruk.
“Ini juga akan menyebabkan kulit semakin nipis sedangkan kecantikan itu hanya sementara sahaja, namun akan didatangi masalah lain seperti jeragat serta jerawat yang tidak boleh dirawat dengan antibiotik biasa. Selain itu, ia mudah terdedah kepada sinar UVA dan berisiko mendapat kanser kulit,” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) mengesahkan lima kes diterima pihaknya berhubung penggunaan kosmetik yang merosakkan kulit, pada tahun ini.
Timbalan Presidennya, Azlin Othman berkata, kebanyakan mangsa tertarik dengan maklum balas positif terhadap produk sehingga ada yang membelinya berulang kali sehingga mengalami kesan teruk pada wajah.
“Kita percaya banyak lagi produk kosmetik di pasaran yang tidak diuji dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
“Bagi kes ini, kita akan ambil sampel produk yang digunakan pengadu untuk dihantar ke kementerian bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Artikel Berkaitan: Ikut 5 Petua Cantik Cara Sherry Ibrahim
Menurutnya, terdapat juga syarikat-syarikat kosmetik yang berani membuat iklan palsu kononnya produk mereka mendapat kelulusan kementerian untuk meyakinkan pengguna.
Beliau berharap tindakan tegas dan berterusan dilakukan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE