10 adab perlu dipatuhi ketika travel ke luar negara, Terutama Muslim Yang Ambil Air Wuduk. Take Note Ya!

Share

Alangkah gembiranya apa yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan. Percutian yang sudah lama dirancang bersama teman-teman akhirnya terlaksana apabila hati yang ditunggu telah tiba. Pastinya perancangan untuk menjelajah ke destinasi menarik bertambah seronok apabila melakukannya bersama teman-teman atau girl gang travel

Walau bagaimanapun perlu diingatkan apabila berada di luar negara, ada beberapa adab yang perlu diikuti bagi mengelakan sebarang kekecohan yang timbul. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

1. Berkunjung Ke Restoran



Tidak semua restoran membenarkan kita untuk membawa makanan dari luar. Jadi sekiranya anda mahu membawa masuk apa-apa seperti sambal, nasi goreng atau apa sahaja, minta kebenaran terlebih dahulu. Jika tidak dibenarkan, beli sahaja di situ dan makan di tempat lain. Selain itu juga, kebanyakan restoran tidak akan izinkan anda untuk menempah satu jenis makanan tetapi berkongsi untuk dua orang. Awas jangan sampai anda dihalau dari restoran berkenaan.

2. Penginapan Di Guesthouse

Biarpun anda membayar harga penginapan tetapi tidak bermakna anda boleh buat apa sahaja. Anda harus patuhi peraturan yang ditetapkan. Jika lampu perlu ditutup jam 11 malam, jadi janganlah anda untuk curi-curi menggunakannya. Dan satu lagi perlahankan volume suara anda supaya tidak menganggu penghuni lain. Lagi satu yang penting, jika booking untuk dua orang, jangan memandai untuk tambahkan sehingga 3 atau 4 orang.

3. Kemas Meja Selepas Makan

Jika anda makan di restoran makanan segera, pastikan anda kemas semula meja selepas makan. Sekurang-kurangnya angkat pinggan, cawan dan buang sampah dalam tong disediakan. Kebanyakan orang kita yang pergi ke luar negara tidak buat perkara ini disebabkan sikap sendiri.

4. Kongsi Peralatan Dengan Orang Lain.

Jika menginap di tempat yang menyediakan beberapa katil sebilik, janganlah anda bersikap dominasi dengan menggunakan power supply sendiri sahaja. Elakkan juga menggunakannya sehingga tempoh 24 jam, sebaliknya beri peluang pada orang lain menggunakan barang elektrik mereka. Dan paling mudah bawa sekali multiple plug untuk dikongsi beramai-ramai.

5. Penggunaan Tandas Awam



Ada adabnya jika anda menggunakan tandas di beberapa negara maju seperti Eropah, Jepun dan lain-lain. Bagi mereka, membasahkan lantai adalah satu perbuatan sangat biadap. Sama juga dengan perbuatan membasahkan seat tandas. Jika anda menggunakan air untuk membersihkan diri selepas buang air kecil atau besar, gunakan air yang minima dan berhati-hati. Dan lagi satu jika mengambil wuduk pula jangan membasuh kaki sebaliknya gunakan kaedah khuf, atau isi air dalam botol dan cuci kaki di luar.

6. Pengangkutan Awam

Jika menggunakan pengangkutan awam, anda perlu mengikut peraturan dengan beratur sebelum menaikinya. Jika berada di tempat kita amalan tidak beratur itu adalah perkara normal.

7. Jarak Antara Kenderaan Bila Memandu

Jika anda memandu, pastikan jarak yang selamat dengan kereta depan. Di negara Eropah yang maju, pemandu akan memastikan jarak mereka sentiasa selamat.

8. Petik Bunga



Usah gatal tangan untuk memetik bunga jika melihat ladang atau taman bunga yang sedang berkembang. Walaupun cantik, batalkan sahaja niat untuk memetik kerana masyarakat di negara luar tidak gemar pelancong memetik bunga mereka. Lagi satu usah juga memijak bunga berkenaan kerana dianggap perbuatan biadap.

9. Hormati Budaya Negara Tersebut

Contohnya jika anda melawat negara bukan Islam, elakkan dari mengutuk atau ‘buat muka’ jika ada yang menawarkan anda daging babi, daging katak, ular atau arak. Anda boleh tolak pelawaan tersebut dengan sopan dan baik. Sila hormati makanan mereka.

10. Elakkan Pergaduhan Dengan Orang Tempatan

Elakkan pergaduhan dengan orang tempatan, apatah lagi merosakkan harta benda di negara tersebut. Sekiranya anda dimarah atau dicabar oleh mereka sebaiknya walk away sahaja dan tidak perlu panjangkan cerita. Bila kita berada di luar negara secara tak langsung kita membawa imej negara.

Published by
SH