Secara alami, adalah normal andai seseorang individu terasa mengantuk selepas seharian melakukan pelbagai aktiviti. Umumnya kita mengantuk apabila fungsi badan dan otak penat dengan aktiviti seharian. Tindak balas semula jadi akan berlaku dan kelenjar tertentu mengeluarkan hormon dengan menghantar tindak balas ke otak.
Bagi mengatasi masalah mengantuk keterlaluan, ada beberapa langkah awal boleh diambil seperti diet serta amal gaya hidup sihat.
Usaha yang boleh dilakukan selain mendapatkan rawatan, pesakit seharusnya mengubah diet mereka termasuk mengelak makanan tinggi karbohidrat dan gula pada waktu malam.
Makanan tinggi karbohidrat memerlukan tempoh pencernaan yang lebih panjang untuk menukar karbohidrat dan gula ke tenaga. Situasi itu menyebabkan organ berkenaan perlu bekerja lebih lama pada waktu malam berbanding fungsi semula jadinya kerana ketika ini ia sepatutnya berada dalam mod rehat.
Elak juga pengambilan kafein yang membuat pesakit berjaga sehingga jauh malam, sebaik-baiknya pengambilan air kosong atau teh hijau boleh membantu mereka menikmati tidur malam lebih baik.
Selain itu, amalkan aktiviti bersenam, individu yang mengalami masalah mengantuk pada waktu siang hari boleh amalkan tidur sekejap sekitar 15 hingga 30 minit ketika tengah hari.
Jika di pejabat, gunakan waktu makan tengah hari untuk melelapkan mata seketika. Ini membolehkan mereka ‘mengecas’ kembali tenaga untuk meneruskan tugasan. Namun, jangan tidur selepas waktu Asar kerana anda akan berasa lebih letih dan tidak bertenaga.
Masalah mengantuk tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi petanda bagi penyakit serius dihadapi individu berkenaan. Ini termasuklah komplikasi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi pada usia muda.
Antara penyakit yang sering dikait dengan gejala mengantuk selain diabetes dan masalah psikiatri ialah:
Anemia
Kandungan zat besi yang rendah menyebabkan penghidapnya mudah rasa mengantuk kerana kandungan oksigen kurang dalam darah. Bahkan penderita sering rasa mengantuk meskipun sudah menikmati tidur yang mencukupi.
Penyakit jantung
Antara tanda jantung tidak baik adalah tubuh sering berasa mengantuk, lemah dan lelah. Lebih ketara gejala itu dihadapi ketika waktu siang. Selain itu, gejala awal penyakit jantung biasanya menyebabkan gangguan tidur pada waktu malam termasuk sukar bernafas.
Hipertensi
Lazim bagi penderita tekanan darah tinggi tidak menikmati tidur nyenyak pada waktu malam. Gejala sakit kepala dan tekanan serta sakit pada bahagian bahu selain leher membuatkan mereka tidak cukup tidur. Tidak hairan keesokan hari mereka mudah berasa letih dan kurang bermaya.
Hiperkalsemia
Kadar kalsium dalam darah antara punca penyakit hiperkalsemia yang berpunca daripada gangguan terhadap sistem saraf, jantung dan pencernaan. Kadar kalsium yang normal dalam tubuh adalah sekitar 8,2 – 10,2 mg/dL, namun penderita hiperkalsemia memiliki kadar kalsium antara 12 mg/dL hingga melebihi 14 m/dL.
Hipotiroidisme
Penyakit hipotiroidisme membuatkan pesakit sukar tidur malam, lantas mengantuk pada waktu siang. Hormon tiroid yang dihasilkan kelenjar tiroid berfungsi membantu tubuh atur waktu tidur tetapi jika terlalu banyak, ia sebaliknya mengganggu waktu tidur.
Hiponatremia
Hiponatremia adalah gangguan elektrolit ketika kadar natrium dalam darah lebih rendah daripada sepatutnya. Kadar penurunan natrium yang pantas boleh menyebabkan kemudaratan kerana ia penting mengendalikan kadar air dalam tubuh, menjaga tekanan darah serta mengatur sistem saraf dan otot.
Sumber kredit: Harian Metro
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI