Boleh dikatkan setiap kali memilih pakaian dan tudung, wanita biasanya akan mengikut panduan pemilihan berdasarkan warna kulit. Wanita yang berkulit cerah lebih bernasib baik kerana mereka agak bebas untuk melaram pelbagai jenis warna pakaian dan tudung.
Namun bagi wanita yang memilik kulit gelap, selalunya pemilihan pakaian dan juga tudung agak selektif bagi mengelakkan penampilan nampak janggal atau tidak berseri. Benarkah cara pemilihan pakaian/baju dan tudung perlu mengikut warna kulit?
Ini panduan daripada guru imej, Puan Mary
MESTI PILIH WARNA BAJU ATAU TUDUNG IKUT WARNA KULIT?
Jawapannya, TIDAK
Cara pilih warna pakaian terutama tudung ini ada beberapa pilihan:
IKUT WARNA KESUKAAN
Anda mesti ada ‘favourite colour’ bukan? Kalau saya, saya suka warna biru. Lebih spesifik lagi, saya suka warna biru yang agak pekat dan gelap seperti navy blue dan suka juga biru lembut seperti light blue. Kelebihan pilih warna pakaian ikut warna yang anda suka ialah anda seronok memakainya. Apabila rasa seronok, muka nampak bahagia, nampaklah lebih menyerlah dan cantik!
PILIH WARNA NEUTRAL ATAU WARNA UNIVERSAL
Warna neutral dan warna universal ini kategori warna yang telah ditentukan oleh pakar warna dan ia sesuai untuk mana-mana jenis tona kulit. Tak perlu pening fikir sesuai atau tidak warna tersebut pada kulit anda.
Nak pilih pakaian pun akan jadi cepat sebab warna-warna dalam kategori warna neutral mudah untuk diperolehi. Tinggal nak pilih corak, potongan atau rekaan yang berkenan di hati sahaja.
IKUT TONA DASAR KULIT (UNDERTONE)
Tona dasar kulit ini ada dua kategori utama – cool dan warm. Terdapat banyak pilhan warna yang wujud dalam kategori cool, begitu juga dalam kategori warm. Untuk tentukan tona warna kulit anda adalah cool atau warm, anda boleh lakukan sendiri dengan mengetahui ciri-ciri kulit dengan tona cool atau warm.
Anda juga boleh dapatkan khidmat perunding imej untuk bantu lakukan analisis tona warna kulit. Kelebihan cara ini ialah mana-mana warna yang anda pilih nampak menyerlah apabila dipakai kerana keharmonian warna itu dengan tona kulit anda sendiri.
Jika anda tidak mahu asyik pakai warna yang sama, cara ini juga membantu anda mendapatkan kepelbagaian warna tanpa risau ia tidak sesuai dengan warna kulit.
IKUT TONA PERMUKAAN KULIT (OVERTONE)
Tona permukaan kulit ialah yang selalu kita gambarkan sebagai cerah, sederhana dan gelap. Tona kulit yang cerah biasanya sesuai memakai hampir semua jenis warna kecuali warna yang kusam atau terlalu terang.
Tona kulit yang sederhana biasanya sesuai memakai warna yang sederhana kepekatannya tapi perlu elakkan warna yang terlampau cerah atau lembut. Tona kulit yang gelap pula sesuai memakai warna yang sederhana kepekatannya dan ada unsur terang.
IKUT MESEJ YANG MAHU DISAMPAIKAN
Semua jenis warna ini ada mesej warna yang khusus. Sebagai contoh, jika mahu nampak lembut dan friendly, warna yang lembut juga menjadi pilihan.
Jika mahu menjadi tumpuan atau dilihat menyerlah, warna-warna yang terang menjadi pilihan. Kelebihan cara ini ialah anda rasa selesa dan selamat dengan warna yang sesuai dengan personaliti atau mesej yang mahu anda sampaikan melalui penampilan anda.
NOTA: Anda guna cara yang mana? Gambar di bawah ini koleksi warna lembut yang mungkin disukai sebilangan daripada anda.
Sumber kredit: Puan Mary Top image: Photo by edmond-dantès- from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
https://youtu.be/oNhFqV_vqVs
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI