Awalnya, wanita ini sudah ‘putus harapan’ untuk menunaikan umrah disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan selepas mengalami ‘slip disc’ tiga tahun lalu. Namun siapa menyangka, besarnya kuasa doa.
KUASA doa amat besar dan menakjubkan kerana ia lafaz puji-pujian untuk memohon sesuatu yang dihajati daripada seorang hamba kepada Allah SWT. Firman Allah SWT: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Ghafir: 60).
Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT yang telah memberi kesembuhan. Siapa menyangka, ajaibnya kuasa doa sehingga wanita yang bertongkat pada mulanya kini sudah boleh berjalan seperti biasa.
Azlina Wahab, 53 tahun telah berkongsi cerita dengan Mstar, bahawa pada awalnya dia sama sekali tidak pernah merancang untuk ke Makkah dan Madinah memandangkan keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan selepas mengalami ‘slip disc’ tiga tahun lalu.
“Saya slip disc dah tiga tahun tapi tahun lepas yang saya sakit teruk. Saya murung teruk kerana pemergian dua insan kesayangan, iaitu kakak pada Januari 2021 diikuti anak saya pada April 2021.
“Masa itu juga saya hilang selera makan sehingga berat badan susut 32 kilogram. Daripada segi pergerakan, saya tak mampu nak berjalan jauh. Berjalan dekat terpaksa bertongkat, kalau jauh terpaksa berkerusi roda”
“Tapi adik beradik dan keluarga bagi semangat, saya pun nak sihat maka berubat merata-rata.
Artikel berkaitan: Fenomena Istiwa A’dzam, Kedudukan Matahari Tepat Di Atas Kaabah, Boleh Semak Arah Kiblat
Berniat mahu menunaikan umrah
Pada awal Mac tahun ini, seorang kakak saya ajak pergi umrah dengannya.
“Saya terdiam sebentar. Saya lihat wajahnya, tertanya-tanya dalam hati ‘sungguh ke ni’. Sebab pergerakan saya masih terhad. Tapi dia bersungguh-sungguh ajak dan berjanji nak tolak kerusi roda. Maka saya pun bersetuju,” kongsi wanita ini.
Disebabkan terlalu excited mahu mengerjakan umrah ke Tanah Suci, Azlina yang juga bekas pendidik berkata dia tidak pernah gagal memohon doa kepada Allah agar agar diberikan kesihatan dan dipermudahkan untuk menjadi tetamu Allah pada masa hadapan.
“Bermula daripada mendaftar, saya memang teruja. Tak henti-henti saya mohon doa kepada Allah nak sihat… nak sihat. “Sambil-sambil itu saya tak putus asa berubat juga. Pantang dengar cerita kat mana bagus, terus pergi. Suplemen macam macam, kos perubatan berpuluh ribu habis.
“Alhamdulillah, sebab berniat nak pergi umrah, mungkin Allah perkenankan. Pada April, saya dah boleh berjalan tanpa tongkat. Dan saya percaya, ia berkat doa ibu, adik beradik, anak-anak dan kawan-kawan juga,” ujarnya yang berasal dari Kedah itu.
Hadiah hari lahir paling bermakna dalam hidup
Selepas beberapa bulan membuat persediaan, Azlina dan kakaknya selamat tiba di Makkah pada 1 Oktober lalu.
“Pada 1 Oktober, saya tiba di Makkah tanpa tongkat dan kerusi roda. Kakak saya yang dulu janji nak tolak kerusi roda, tak jadi buat macam tu sebab saya boleh berjalan macam biasa.
“Jika masa datang sebelum-sebelum ini saya hanya mampu buat dua atau tiga kali saja umrah, tapi Alhamdulillah kali ini, rezeki dapat buat empat kali umrah. Allah permudahkan semuanya.
Tambahan itu, dia juga memanjatkan rasa syukur kerana dapat meraikan ulang tahun kelahiran ke-53 di Makkah. Ia adalah “hadiah hari lahir paling bermakna dalam hidup. Tahun ini Allah berikan kegembiraan selepas tahun lepas saya dirundung kesedihan,” katanya lagi
Ajaibnya kuasa doa
Tambah Azlina, hantaran yang dibuat di Facebook adalah kerana mahu berkongsi mengenai betapa besarnya kuasa Allah serta magis doa yang dilafazkan.
“Doa yang sangat magis… saya bersyukur sangat-sangat atas kurniaan Allah menyembuhkan kesakitan yang dialami. “Magisnya kekuasaan Ilahi dan saya doakan kesihatan yang baik untuk semua dari sini.
Dia menyatakan betapa banyak doa yang telah dikirim oleh orang ramai di WhatsApp mahupun Facebook.
“Ada yang minta doakan kesembuhan penyakit kanser, penyakit kronik lain dan pelbagai lagi. Saya cuba sedaya upaya bacakan, kerana mahu semua turut rasai magis ini. InsyaAllah,” ujarnya lagi
Ramai meninggalkan komen positif
Meninjau di ruangan komen instagram mstar, warganet turut memanjatkan rasa syukur dan terharu atas kisah wanita ini.
Ramai yang turut memanjatkan alhamdulillah dan rasa syukur terhadap wanita ini. Daripada kisah ini, kita telah belajar agar terus berdoa secara berterusan kerana besarnya kuasa doa kepada kita. Allah SWT sentiasa mendengar doa dan rintihan hamba-habanya. Apa yang paling penting, sebagai hamba, kita perlulah sentiasa berdoalah dan meminta perkara yang baik, diberikan kesembuhan dan kesihatan daripada-NYA. Sesungguhnya, doa merupakan ikhtiar yang paling ampuh bagi seseorang insan.
Artikel berkaitan: Tip Kumpul Duit Nak Pergi Buat Umrah, Boleh Ikut Cara Yang Ustaz Ini Kongsikan
Sumber info dan gambar: Mstar dan Pexels
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
https://www.youtube.com/watch?v=56nQrka4s8k&feature=emb_imp_woyt
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI