Menjawab salam yang diberikan sesama Muslim adalah wajib. Berdosa sekiranya salam diabaikan secara sengaja.
Lalu bagaimana pula hukum menjawab salam bertulis melalui mesej pesanan ringkas atau aplikasi whatsapp dan sebagainya? Adakah salam itu juga wajib untuk dijawab?
SOALAN:
Apakah hukum menjawab salam bertulis melalui mesej pesanan ringkas atau aplikasi whatsapp dan sebagainya? Mohon pencerahan.
JAWAPAN:
Firman Allah SWT:
فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً
Maksudnya: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.”
Ayat di atas menjelaskan, apabila kamu memasuki sebuah rumah, tidak kira rumah tersebut berpenghuni ataupun tidak, maka sebahagian daripada kamu berilah salam kepada sebahagian yang lain dengan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ atau “السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ” sekiranya tiada seorang pun di dalam rumah itu. Ucapan salam ini telah disyariatkan oleh Allah SWT dan ia merupakan ucapan yang diberkati, yang menumbuhkan rasa kasih sayang dan cinta. Apatah lagi, ia disukai oleh orang yang mendengar.
Bukan itu sahaja, malah Ibn Juzai al-Kalbi menyebutkan, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat ia tidak terhad hanya kepada rumah-rumah atau kediaman tetapi juga masjid-masjid. Kita diperintahkan untuk memberi salam kepada sesiapa yang ada di dalamnya. Sekiranya tiada sesiapa di dalamnya, berilah salam kepada Nabi SAW, para malaikat dan hamba-hamba Allah yang soleh.
HUKUM MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM
Pada asalnya, hukum memberi salam adalah sunat muakkad — yang sangat dituntut. Manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.
Imam al-Nawawi menjelaskan lagi perkara ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitabnya bahawa hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad. Manakala hukum menjawab salam pula adalah fardhu atau wajib secara ijmak (sepakat para ulama). Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain, maka orang yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardhu ain. Jika diberi salam kepada sekelompok manusia, maka hukum menjawabnya pula menjadi fardhu kifayah. Jika salah seorang menjawabnya, maka sudah cukup dan gugur kewajipan menjawabnya bagi mereka yang lain, dan jika semua orang menjawabnya, maka semuanya dikira sebagai menunaikan perkara yang fardhu, sama ada mereka menjawabnya secara serentak ataupun tidak. Jika tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjawabnya, maka mereka semua dikira berdosa.
Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #202 Memberi Salam.
CARA MENULIS DAN MEMENDEKKAN LAFAZ SALAM KETIKA BERMESEJ
Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hal ini. Ada yang membenarkannya dan ada juga yang melarang. Mereka yang tidak membenarkan untuk memendekkannya berhujah kerana ia adalah ibadah sepertimana yang disebutkan oleh Abu al-Hasan al-‘Adawi dalam hasyiahnya.
Manakala sebahagian ulama yang lain pula, mengharuskan lafaz salam diringkaskan hanya kepada “السَّلَامُ” atau “سَلَامٌ” sama ada ketika memberi salam atau menjawabnya. Bahkah Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyebutkan bahawa tidak mengapa memendekkan lafaz salam menjadi “السَّلَامُ” kerana Nabi Ibrahim A.S, ketika menjawab salam para malaikat Baginda menjawabnya dengan lafaz “سَلَامٌ” iaitu dengan makna “عَلَيْكُمْ سَلَامٌ” yang bermaksud “Ke atas kamu kesejahteraan”. Begitulah juga ketika memberi salam, tidak mengapa, jika seseorang memberi salam dengan lafaz “سَلَامٌ” iaitu dengan makna “سَلَامٌ عَلَيْكُم” yang bermaksud “Salam sejahtera ke atas kamu” atau dengan lafaz “السَّلَامُ” iaitu dengan makna “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ” (Salam sejahtera ke atas kamu).
Pendapat mereka yang membolehkannya ini, dikuatkan lagi dengan sebuah hadith daripada riwayat Umar bin al-Khattab R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ، ولِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Amalan-amalan itu adalah berdasarkan kepada niat, dan bagi setiap orang apa yang dia niatkan.”
Justeru, tidak mengapa jika seseorang itu memendekkan lafaz salam dalam penulisannya di aplikasi whatsapp dan seumpamanya. Hal ini kerana dia tidak akan menulis atau memendekkan lafaz salam melainkan dia berniat atau bermaksud mahu memberi salam. Misalnya, dia menulis di awal mesejnya ‘salam’ atau ‘aslmkm’ atau apa-apa singkatan yang boleh difahami daripadanya bahawa penulis maksudkan sebagai memberi salam. Namun, jika lafaz salam tersebut dapat ditulis dengan penuh seperti ‘assalamualaikum’, maka itu adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #522 Memendekkan Lafaz Salam ketika Bermesej.
HUKUM MENJAWAB SALAM YANG BERTULIS
Berbalik kepada persoalan yang telah ditanyakan, kami nyatakan bahawa seseorang yang mendapat mesej mahupun pesanan ringkas yang mengandungi lafaz salam, wajib menjawabnya. Firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).”[10]
Selain itu, Nabi SAW juga pernah bersabda kepada Aisyah R.Anha:
يَا عَائِشَةُ هَذَا جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلاَمَ، فَقُلْتُ: وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ. وَهُوَ يَرَى مَا لاَ أَرَى
Maksudnya: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Dia mengucapkan salam kepadamu.” Lalu aku menjawab: “وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” (Dan ke atasnya keselamatan dan rahmat Allah).” Nabi SAW melihat apa yang tidak aku lihat.”
Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa sesiapa yang telah sampai padanya salam daripada seseorang yang lain, hendaklah dia menjawabnya dan menjawab salam itu, hukumnya adalah wajib ke atas dirinya dengan segera. Begitu juga jika dia menerima salam menerusi kertas — yakni surat — daripada orang yang berada di jauh, maka hukumnya adalah wajib untuk dia menjawab salam tersebut secara lisan dengan segera ketika dia membacanya.
Perkara ini dikuatkan lagi dengan kaedah fiqh yang menyatakan:
الكِتَابُ كَالخِطَابِ
Maksudnya: “Penulisan sama kedudukannya seperti percakapan.”
Dr. Muhammad al-Zuhaili ketika mensyarahkan kaedah ini menyebutkan, penulisan antara orang yang tidak hadir sama seperti pertuturan sesama orang yang hadir. Hal ini kerana pen (atau alat-alat tulis lain) merupakan salah satu alat bicara — yakni untuk menyampaikan. Sesungguhnya Nabi SAW telah diperintahkan untuk menyampaikan risalah (yakni agama ini) kepada manusia seluruhnya. Ada kalanya Baginda SAW telah menyampaikan kepada mereka melalui penulisan (yakni perutusan surat) dan ada kalanya melalui pertuturan.
KESIMPULANNYA
Justeru, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa hukum yang sama terpakai kepada mereka yang menerima pesanan ringkas daripada aplikasi whatsapp, SMS dan seumpamanya, atau membaca surat atau lain-lain, yang mana terkandung di dalamnya lafaz salam (yang ditujukan buat pembacanya), hendaklah dia menjawabnya kerana hukum pada penulisan sama kedudukannya dengan pertuturan. Jika menjawab salam yang dilafazkan itu, hukumnya adalah wajib, maka menjawab salam yang disampaikan melalui penulisan juga adalah wajib.
Selain itu mereka boleh memilih untuk menjawabnya secara lisan yakni sekadar menjawabnya secara lisan sahaja, tanpa membalas kembali lafaz salam itu, maka ia sudah memadai. Namun, afdhalnya adalah membalas kembali lafaz salam itu (yakni menjawabnya) dengan mengirimnya kembali melalui pesanan ringkas tersebut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Sumber kredit: Maktabah al-Bakri Top image: Photo by rodnae-productions from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI