Sesiapa yang menjalani ibadah umrah mahupun haji pasti tidak akan melepaskan peluang menziarahi Makam Nabi SAW, tetapi ramai yang tidak dapat mengawal perasaan dan tingkahlaku. Nampak seperti remeh tapi itulah yang patut kita jaga iaitu adab ketika menziarah makan rasulullah.
Ketika menziarahi Makam Nabi SAW bersama Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan Sayidina Umar al-Khattab nanti, jagalah juga adab-adab dan tingkah laku kita. Menyampaikan salam kepada mereka haruslah dilakukan dengan sopan sekali.
Antara perbuatan yang dilarang ketika menziarahi makam adalah:
1. Menadah tangan ketika memberikan salam buat Nabi SAW. Ia tidak terdapat dalam sunahnya yang mulia.
2. Meminta agar Nabi SAW memenuhi segala kehendak, menyembuhkan penyakit dan mengeluarkan daripada kesulitan hidup. Sesungguhnya hanya kepada Allah sajalah tempat kita sebagai hamba-Nya untuk bermohon, meminta dan merintih.
Rasulullah SAW sendiri telah bersabda dalam sebuah hadis yang panjang. Katanya, apabila meminta, pintalah daripada Allah, apabila memohon pertolongan, pohonlah daripada Allah.
3. Berdoa menghadap ke arah Makam Nabi SAW. Sebetulnya hendaklah berdoa dengan menghadap ke arah kiblat.
4. Menyapu, mengusap serta mencium dinding-dinding serta pintu makam berkenaan. Sesungguhnya perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat yang mulia.
5. Mengangkat serta meninggikan suara ketika berada berdekatan dengan makam. Sesungguhnya Allah telah melarang perbuatan sebegini melalui ayat ke-2, surah al-Hujurat.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.”
Menurut para ulamak, larangan ketika hayatnya ini berkekalan walaupun setelah wafatnya Baginda SAW. Demikianlah adabnya.
Harus diingatkan juga buat para jemaah yang ‘berhempas pulas’ masuk ke Raudhah. Bahawa kalian sebenarnya sedang berada bersebelahan dengan Makam Nabi SAW. Oleh itu, jagalah nada suara dan kelakuan ketika itu.
6. Mengambil masa yang lama berdiri di depan makam. Hal ini boleh mengakibatkan sesak jalan dan menyakiti para jemaah yang lain. Sebaiknya apabila dah selesai memberikan salam, berjalanlah keluar melalui laluannya dengan tenang.
Nota: Ada sedikit jarak antara laluan jemaah dengan dinding makam. Juga ditugaskan beberapa orang syeikh di sana bagi membantu dan memberikan penjelasan kepada mana-mana jjemaah yang bertanya.
Kelihatan dalam gambar ada 3 pintu besar. Kedudukan Makam Nabi SAW, Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar berada di pintu yang tengah sahaja. Ada labelnya di situ.
Sumber : Facebook Najmi Farisham
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI