Pertubuhan Amal Nur by Khiriah milik selebriti terkenal yang pernah memenangi Anugerah Skrin dan Anugerah Bintang Popular ini telah berjaya membantu meringankan beban ramai umat Islam bagi urusan pengurusan jenazah. Semua perkhidmatan yang ditawarkan dilakukan secara percuma.
Berkongsi cerita di laman Instagram miliknya, Noorkhiriah mengimbau kembali saat permulaan sewaktu memulakan pertubuhan amal tersebut.
“Bila kenang balik, rasa hendak menangis, seperti mimpi buat semua ini. Bermula dengan borak-borak bersama suami pada Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama. Kemudian, keluarkan duit ASB untuk tukarkan kereta menjadi van jenazah, tiba-tiba sudah setahun lebih usia Pertubuhan Amal Nur by Khiriah,” kongsinya.
Bermula dengan hanya sebuah van jenazah kini pertubuhan tersebut telahpun berkembang dengan memiliki empat van jenzah yang digunakan untuk melakukan perkara fardu kifayah bagi umat Islam.
Kongsinya lagi, “Alhamdulillah, daripada satu van jenazah, tiba-tiba jadi dua dan kini sudah ada empat. Dua daripadanya adalah hasil infak. Baiknya Allah, dipermudahkan dari mula sampai sekarang. Ditambah ada yang tidak putus-putus menyumbang. Dari satu kes ke satu kes, pelbagai cara kematian. Sampai saya tidak berani buka galeri gambar suami. “
Bantuan percuma diberikan untuk pengurusan jenazah ini merangkumi segala segi dari pembelian kain kapan, memandikan dan mengkafankan, sembahyang jenazah sehinggalah penghantaran ke kubur bagi urusan pengkebumian.
Dalam pada itu, Noorkhiriah juga memanjatkan rasa syukur kerana usaha yang dilakukan ini turut disertai oleh individu yang banyak membantu tidak kurang juga mereka yang banyak menyumbang.
Sumber: Instagram Noorkhiriah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Persiapan Rohani Sebelum Nak Pergi Umrah Paling Penting ‘Jaga Mulut’
Tanah Suci Makkah adalah tempat yang memperlihatkan peribadi yang sebenar. Sebelum menjadi tetamu Allah, hendaklah mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan malah niat dihati.
Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, sombong, panas baran, suka bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi. Makkah juga adalah tempat pertembungan umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Sifat-sifat murni seperti sabar, ikhlas, syukur, tolong-menolong, ramah dan sebagainya akan dapat memudahkan interaksi sesama jemaah.
Melalui satu perkongsian di Facebooknya, Hairolnizam Mat Erol berkongsi persediaan-persediaan rohani yang perlu dilakukan sebelum menjadi tetamu Allah.
Di sini saya ingin kongsikan persediaan-persediaan rohani untuk bakal-bakal tetamu Allah. Mungkin anda juga seperti saya yang masih merasakan diri dan jiwa masih jauh dari Allah dan Rasulullah SAW beberapa bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Apa yang saya dapat dan praktikkan ini adalah daripada tips-tip daripada sahabat-sahabat yang telah menjadi tetamu di Baitullah.
Insya Allah… semoga bermanfaat.
1. Perbaiki Kualiti Solat & Mencintai Masjid
Mulai dengan jaga solat 5 waktu dan kerap hadir ke masjid. Latih diri solat awal waktu, berjemaah dengan hadir ke masjid atau surau. Boleh berlatih dengan mulakan dengan berjemaah Maghrib dan Isyak dahulu (balik kerja) kemudian upgrade kepada Zohor dan Asar berjemaah (jika ada peluang) serta Subuh berjemaah (ini yang paling mencabar).
2. Biasakan Solat-solat Sunat & Berdoa
Mulakan berlatih perbanyakkan solat-solat sunat Qobliyah dan Baa’diyah.
Juga biasakan solat Taubat, Dhuha, solat hajat dan solat Tahajjud jika mampu. Juga biasakan diri banyak berdoa dengan yakin di antara azan dan iqamah serta selepas solat.
Apabila kita berada di Madinah dan Mekah nanti, perkara utama dan yang paling banyak untuk kita lakukan ialah berulang-alik ke masjid untuk solat 5 waktu. Di sanalah nanti peluang untuk kita merebut ganjaran pahala 1,000 kali ganda solat di Masjidil Nabawi dan 100,000 kali ganda di Masjidil Haram.
Apabila sudah biasa dengan amalan solat awal waktu dan solat-solat sunat, insyaAllah, ia menjadi perkara yang paling dekat dan paling dicintai di hati kita untuk bangun awal sebelum Subuh, dan diikuti datang awal ke Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram setiap kali masuk waktu solat dan melakukan solat-solat sunat serta berdoa mohon kebaikan daripada Allah.
3. Belajar Bersabar Dan Reda
Mulakan berlatih bersabar dan reda dengan setiap apa yang berlaku dalam aktiviti harian kita. Didik hati bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah, merupakan ujian dari Allah dan Rasulullah SAW pun menyuruh kita menjadi orang yang sabar dan menahan kemarahan.
Apabila hati dah mula biasa bersabar, insyaAllah, bila sampai di Tanah Suci nanti, segala macam dugaan seperti kelewatan imigresen, masalah hotel, masalah makanan, masalah bas atau sikap-sikap jemaah lain serta kerenah pasangan pun dapat kita hadapi dengan baik.
4. Belajar Jaga Tutur Kata
Mulakan latih diri bercakap perkara yang baik-baik sahaja sama ada dalam perbualan atau media sosial. Elakkan bercakap hal-hal buruk, hal orang lain atau bergurau menyebut seolah-olah akan jadi perkara tidak elok seperti “Jauh berjalan macam ni, boleh patah kaki…!”
Setiap tutur kita adalah doa. Dan di Tanah Haram, insyaAllah… akan dimakbulkan segera apa yang kita tuturkan atau detikkan dalam hati sama ada yang baik atau yang buruk.
Apabila sudah biasa mendidik lidah kita, insyaAllah, hanya perkataaan-perkataan baik sahaja yang akan keluar dalam bicara kita di sana.
5. Belajar Berbaik Sangka
Didik hati untuk berbaik sangka dengan orang lain terutamanya dengan orang minta derma, minta sedekah atau mohon bantuan.
Di Tanah Haram nanti kita akan bertemu dengan macam-macam peminta sedekah. Bila hati sudah dididik berbaik sangka, jika kita menolak untuk tidak memberi sedekah pun, kita akan tolak dengan baik dan dengan senyuman.
6. Banyakkan Membaca Sirah Nabi dan Berselawat
Timbulkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan banyak membaca sirah-sirah nabi, kisah-kisah pengorbanan nabi berdakwah menyebarkan agama Islam.
Di Masjidil Nabawi nanti, itulah peluang terbaik kita untuk berziarah makam Rasulullah SAW setiap hari selepas solat dan memberi salam kepada baginda Rasulullah SAW.
Apabila hati sudah ditanam dengan kecintaan yang tinggi kepada baginda, insyaAllah…akan menitis air mata bila berziarah ke makam baginda.
7. Rendahkan Hati, Rasa Diri Banyak Dosa
Kedatangan kita ke Baitullah adalah atas jemputan Allah. Kita ini hamba yang banyak berdosa. Namun atas kasih sayang Allah, kita masih dijemputnya untuk ke sana.
Inilah peluang terbaik kita bertawaf depan Kaabah, solat taubat, solat sunat dan mohon keampunan kepada Allah, banyakkan berdoa, membersihkan diri menjadi hambaNya dan umat nabi Muhammad yang lebih baik.
Semoga persiapan rohani kita dari awal sebelum berangkat ke Tanah Suci akan menjadikan kita benar-benar hamba-Nya yang berserah sepenuhnya kepada Allah sepanjang berada di Tanah Suci.
Tiada lain yang kita harapkan, hanyalah umrah yang mabrur serta dapat kita istiqamah dalam perkara ibadah-ibadah dan akhlak baik kita apabila kembali ke tanah air, insyaAllah…
Dan kepada sahabat-sahabat yang masih belum berpeluang ke sana, lakukanlah juga persiapan rohani seperti di atas.
Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, amalan dan istiqamah kita boleh menjadi asbab untuk kita dijemput ke Baitullah. Sesungguhnya Allah itu maha kaya. Dia boleh jemput kita dengan pelbagai cara dan jalan yang tidak disangka-sangka.
Sumber kredit: FB: Hairolnizam Mat Erol via Kenangan Haji & Umrah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Kesabaran & Ketabahan Fauziah Nawi Contoh Buat Kami” – Mufti Wilayah Kongsi Kedukaan Fauziah Nawi
Tabah dan sabarnya seorang ibu bernama Fauziah Nawi. Di saat menerima berita pemergian anak tercinta, ibu ini masih tetap ‘kuat.’ Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak ketinggalan berkongsi duka dengan dugaan seniwatu Fauziah Nawi yang kehilangan anak tercinta, Pitt Hanif dalam kejadian lemas pada Sabtu lalu.
Posted by Fauziah Nawi on Sunday, 27 October 2019
Dr Zulkifli menyatakan rasa kekaguman beliau pada seniwati itu kerana begitu sabar dan tabah menerima ujian yang hebat. Bahkan, Fauziah juga, jelas beliau, menjadi contoh buat seluruh masyarakat agar kuat menghadapi kehilangan insan tersayang.
Berikut perkongsian penuh Dr Zulkifli
Saya membaca laporan akhbar berkenaan pemergian Mohd Firdaus Mohamad Hanif dengan penuh dukacita. Menonton pula video si ibu, Hajah Fauziah Nawi menyedarkan kita bahawa itulah kasih sebenar seorang ibu.
Apa yang berlaku, telah pun berlalu. Saya berharap dan mendoakan semoga kematian almarhum Firdaus termasuk dalam ketentuan syahid akhirat. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (653)
Buat Hajah Fauziah Nawi dan keluarga, kesabaran dan ketabahan anda semua adalah contoh buat kami. Kami juga mendoakan anda sekeluarga supaya terus kuat menghadapi dugaan kehilangan insan yang tersayang. Kita yakin, banyak hikmah-Nya atas setiap musibah yang diberikan oleh-Nya.
Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada almarhum Mohd. Firdaus. Semoga rohnya dicucuri rahmat, mendapat syahid akhirat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.
View this post on InstagramA post shared by Mufti Wilayah Persekutuan (@drzulkifli.albakri) on
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan dan Fauziah Nawi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Air Mata Mengalir Tanpa Sedar, Ini Doa Di Akhir Ramadan Yang Boleh Kita Baca
Mengingati Allah dengan memperbanyakkan amalan ibadah melalui doa adalah cara terbaik untuk kita mendekatkan diri kepada Allah.
Ramadan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Gunakan peluang yang ada untuk terus menimba pahala. Berdoalah kepada Allah tanpa kenal erti berputus asa. Mengadalah kepadaNya dengan sepenuh hati.
Melalui entri di laman facebook, lelaki ini berkongsi doa diakhir Ramadan.
Baca doa ini di akhir Ramadan kerana doa ini mampu buatkan air mata mengalir tanpa sedar! Doa, senjata mukmin. Doa ibarat air dan oksigen. Yang sangat penting untuk hati kita terus bernafas segar.
Doa, semua orang boleh berdoa. Nak pula di bulan Ramadan ni, lagilah perlu banyakkan doa. Doalah… pasti Allah kabulkan.
“Dan Rabbmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. [QS. Ghafir: 60)
Tapi saya nak kongsikan rangkap doa yang lengkap, tapi penuh penghayatan dan jika dibaca dari hati, insha Allah pasti mengalir air mata tanpa sedar.
doa bulan Ramadan, doa Ramadan, doa selepas solat, doa sepuluh akhir bulan Ramadan, doa lailatulqadar, doa amalan di bulan Ramadan.
Inilah dia doanya…
Bacalah dari hatimu untuk Tuhanmu… dengan penuh sifat kehambaan…
Ya Allah Ya Tuhanku! Aku bertaubat kepadaMu dengan sebenar-benar taubat. Ampunilah dosa-dosaku, Ampunilah kesalahan-kesalahanku, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Penerima Taubat.
Berikanlah aku kemenangan ke atas kelemahan diriku ketika berada dalam bulan Ramadhan dan selepas perginya Ramadan.
Terimalah doa-doa aku, ibadahku dan amalan-amalan baikku.
Ya Allah berkatilah aku dengan menyaksikan lailatul Qadr.
Tunjukkanlah aku ke arah melakukan amalan yang diterima baik hanya keranaMu.
Bantulah aku dalam mendapatkan khushu’ dan ikhlas dalam melaksanakan ibadahku.
Bantulah aku untuk lebih mendekatkan diriku kepadaMu dalam ramadhan yang kian berakhir.
Jadikan aku hamba yang menyayangiMu, NabiMu (saw), agamaMu, QalamMu dengan cara yang sewajarnya untuk disayangi.
Tingkatkanlah tahap keimananku, tawakkalku dan keyakinanku kepadaMu. Tambahkanlah Taqwa kepadaku. Jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa bersyukur.
Berikan aku kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan dugaan dariMu. Kurniakanlah kepadaku kelembutan hati dalam mentaati segala syariatMu.
Jadikanlah Al-Quran sebagai temanku di dunia dan akhirat. Tunjukkan lah aku jalan yang lurus dengan kebenaran dariMu sehingga nafas terakhirku, jauhilah aku daripada mensyirikkanMu, kufur atau bid’ah (besar / kecil).
Golongkanlah aku dari golongan muhsineen, muttaqeen, mukhliseen dan sabiqoon fil Ilm. Tambahkanlah kepadaku ilmu yang bermanfaat.
Jadikanlah aku hamba yang redha dengan segala takdir dan ketentuanMu untuk diriku. Selamatkanlah aku daripada penyakit hati iaitu dengki, bongkak, menunjuk-nunjuk dan lain-lain.
Berkatilah aku dengan kebahagiaan di dunia ini, lindungi aku daripada kesedihan & kemurungan. Bantulah aku dengan keupayaanku untuk melakukan Tazkiyah jiwaku sepanjang perjalanan hidupku.
Hilangkanlah perasaan cintakan dunia ini daripada terbentuknya dalam hatiku. Pelawalah aku ke rumahMu untuk aku menyembahMu.
Ya Rabb, berikanlah kepadaku pengakhiran yang baik. Jadikanlah perasaan aku suka dan gembira untuk bertemu denganMu.
Jadikan kuburku & alam barzakh sebagai tempat kediamanku yang aman dan sejuk. Kurniakanlah kepadaku pelindung Arash Mu pada Hari Qiamah.
Berikan catatan amalanku dari tangan kanan dan beratkan timbangan ku dengan perbuatan-perbuatan baik. Kurniakanlah kepadaku nikmat untuk minum dari Telaga Al Kawthar.
Permudahkan aku untuk melintas titan Siraat & Qantarah (jambatan sebelum Syurga). Bantuilah aku Ya Allah bagi memperolehi kebahagiaan yang hakiki dengan melihatMu di akhirat kelak.
Lindungilah, tingkatkanlah dan semaikanlah perasaan cinta, kasih, barakah dan rahmah antara aku dan pasanganku selama-lamanya.
Perbaikilah dan tingkatkan akhlak dan kelakuanku antara satu sama lain. Berikanlah ganjaran kepada pasanganku dengan ganjaran yang terbaik untuk dia dalam berusaha untuk keluargaku.
Jadikanlah Al-Quran dan Syariah Mu menjadi hakim kepada ku dalam semua perkara. Kukuhkanlah amalan-amalan ku demi agamaMu. Jadikanlah aku tergolong dalam golongan bersama-sama mereka dalam kebahagiaan di Jannah al Firdaus.
Ya Allah, bantulah aku dari segi kekuatan fizikal & emosi untuk menjadi ibu bapa yang baik & contoh yang terbaik untuk anak-anak ku.
Peliharalah anak-anak ku supaya tidak terpengaruh daripada kesan kesilapan-kesilapan ku yang lalu dalam hidup mereka. Berkatilah aku dengan anak-anak yang soleh.
Jadikanlah anak-anakku sebagai penyejuk mataku dan jadikan mereka sebagai amal jaariah bagiku & pasanganku. Jadikanlah mereka daripada orang yang mendirikan solat dan sujud hanya kepadaMu sahaja.
Lindungilah diri aku daripada kejahatan, musibah, gangguan syaitan daripada manusia & jin. Lindungilah anak-anakku daripada bahaya, penyakit, kekufuran, perkara-perkara haram dan kemusnahan.
Berikanlah kejayaan kepada anak-anakku dalam agamanya, dunia & Akhirah. Berkatilah aku dan keturunanku agar menjadi anak soleh sehingga Hari Qiamah. Satukan dan kumpulkanlah keseluruhan keturunanku di Jannah al Firdaus.
Ya Allah Ya Rahman,
Jadikanlah anak-anak kami bekerja untuk agamaMu; hafiz Al-Quran, daie, imam, ulama dan syahid di atas jalanMu. Jadikan mereka sebagai penyebab bagi kami mendapat tempat di dalam Jannah & jauhilah kami dari api neraka.
Ya Allah selamatkanlah aku & seluruh keluargaku dari api neraka & jadikanlah kami daripada golongan yang memasuki Jannah Firdaus Mu tanpa sebarang perhitungan.
Ya Allah, Ya Gaffaar. Ampunilah kedua ibu bapaku.
Ganjarilah mereka dengan ganjaran yang paling besar di dunia ini & akhirat.
Tingkatkanlah kedudukan mereka di sisiMu dan berikanlah kepada mereka Jannah al Firdaus. Jadikanlah kami penyejuk mata mereka di hari tua mereka.
Berikanlah kejayaan kepada adik-beradikku di dunia ini & akhirat.
Muliakanlah kedudukan kedua ibu bapa pasangan kami, orang tua kami, umat masyarakat kami.
Lindungilah mereka daripada penyakit dan segala masalah pada usia tua. Ampunilah dosa-dosa mereka yang telah meninggal dunia dalam keluarga kami & umat masyarakat; sama ada yang muda & tua.
Berikanlah keamanan dan ketenangan kepada mereka di alam barzakh sehingga mereka bertemu denganMu.
Selamatkanlah dan peliharalah kami daripada Dajjal, Ya’juj dan Ma’juj dan hari lepas. Kurniakanlah zuriat yang soleh kepada keluarga kami dan rakan-rakan kami yang sedang menunggu kelahiran dan berusaha bagi mendapatkan zuriat.
Satukanlah hati-hati kami dengan sahabat-sahabat kami yang bekerja untukMu dan eratkanlah ikatan persaudaraan kami.
Satukanlah hati mereka yang sedang menjalani dan menguruskan rumahtangga dan limpahkanlah kebahagiaan dan ketenangan dalam perkahwinan mereka, permudahkanlah urusan mereka yang sedang berada dalam kesukaran urusan perkahwinan.
Kau sembuhkanlah penyakit kepada mereka yang sedang sakit, sesungguhnya Kau Maha Menyembuhkan segala penyakit kecuali mati.
Ya Allah Ya Qawiyy, Kau lindungilah saudara-saudara kami di seluruh negara; Palestin, Syria, Nepal, Rohingya, Iraq, Iran, Malaysia dan di mana-mana jua daripada penganiayaan, rogol, pembunuhan, penghinaan.
Kau legakanlah penderitaan mereka dan tingkatkan darjat mereka di sisiMu. Kau hancurkanlah mereka yang zalim, kejam dan penindas ke atas saudara-saudara kami.
Kau cukupkanlah mereka yang serba kekurangan, Kau ringankanlah beban bagi mereka yang tertindas dan Kau bebaskanlah mereka daripada hutang.
Ya Allah, perkenankanlah dan makbulkanlah doa-doa kami sempena dalam Ramadan ini. Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Selawat dan salam kami ke atas junjungan kami Nabi Muhammad (saw), seluruh ahli keluarga baginda, sahabat baginda dan mereka yang mengikuti baginda hingga ke hari terakhir.
Aamiin ya Rabb Al’alamiin.
Sumber kredit: Mohd Ibrahim via Memori Terindah Tanah Suci
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI