Alamak! Hari jumaat dah lepas nak potong kuku. Habislah, kena simpan panjanglah selepas ini sebab nak dapatkan pahala lebih pada hari-hari tertentu untuk memotong kuku. Takut nanti sia-sia sahaja tak dapat kelebihannya.
Tapi hakikatnya, betul ke ada hadis yang menyatakan kelebihan memotong kuku pada hari tertentu mendapat ganjarannya? Apakah ia sahih jika terdapat satu hadis yang menyatakan tentang kelebihan itu?
Artikel berkaitan: Jangan Abai Kesihatan Kuku. Amalkan Tip Ini Untuk Kuku Menawan.
Potong kuku boleh sahaja pada bila-bila masa
Sudah menjadi kelaziman buat kita untuk memotong kuku setiap kali hari jumaat menjelma pada setiap minggu. Ada juga yang sanggup menyimpan kuku semata-mata untuk mendapat kelebihan mengikut sunnah.
Tetapi adakah anda tahu bahawa memotong kuku itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja? Ada juga kenyataan yang menyatakan tiada hadis sah berkenaan memotong kuku pada hari tertentu dan kelebihannya yang khusus.
Menurut portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan memotong kuku itu merupakan salah satu daripada perkara fitrah yang dianjurkan oleh Islam sendiri. Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
Maksudnya: “Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.”
Riwayat al-Bukhari (5550) dan Muslim (257)
Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, ia menjelaskan bahawa bilangan sebanyak lima perkara yang disebut itu tidak terbatas sebanyak itu sahaja. Mengapa? Kerana ia datang melalui hadis lain mengikut bilangan yang lain juga. (Lihat Fath al-Bari, 10/337).
Jadi tiada yang dinyatakan melalui kelebihan hari tertentu khusus dilakukan untuk memotong kuku. Dijelaskan juga melalui Imam al-Sakhawi mengenai isu ini:
“Tidak ada satu pun hadis yang sahih daripada Nabi SAW yang menerangkan tentang tatacara dan penetapan hari-hari tertentu untuk memotong kuku.”
(Lihat al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 489)
Namun, terdapat juga beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menyatakan mereka memiliki kebiasaan memoting kuku pada hari jumaat. Antaranya:
- Ibnu Umar R.A biasanya memotong kuku dan merapi misainya pada hari Jumaat (Lihat al-Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/244)
- Melalui Ibrahim pula, beliau menceritakan: “Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/65)
- Salah seorang tabi’in, Muhammad bin Ibrahim al-Taimi berkata: “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.” (Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 3/197)
Menurut riwayat-riwayat di atas, para ulama fiqh dari kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, galakan dan anjuran memotong kuku pada setiap hari Jumaat. Imam Nawai juga berkata: “Al-Syafi’e dan ashabnya dengan tegas (secara nas) menyebut anjuran memotong kuku pada hari Jumaat.” (Lihat al-Majmu’, 1/340).
Jelas disini Islam menganjurkan untuk memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat kerana hari itu merupakan hari bagi kaum muslimin berkumpul di masjid bagi melakukan ibadah solat Jumaat. Namun, boleh sahaja dilakukan pada hari lain sekiranya tidak sempat pada hari Jumaat.
Tetapi janganlah membiarkan keadaan diri tidak terurus melebihi 40 hari. Hal ini pernah dijelaskan oleh hadis daripada Anas bin Malik R.A, kata beliau:
وُقِّتَ لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَصَّ الشَّارِبِ ، وَتَقْلِيمَ الأَظْفَارِ ، وَحَلْقَ الْعَانَةِ ، وَنَتْفَ الْإِبْطِ ، لاَ يُتْرَكُ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ يَوْمًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW memberikan batasan waktu kepada kami untuk memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, dan mencukur bulu kemaluan, agar tidak dibiarkan lebih dari empat puluh hari.”
Riwayat Muslim (520), al-Tirmizi (2759) dan al-Nasa’ie (15)
Dihuraikan lagi oleh Imam al-Nawawi bahawa hadis ini beri penjelasan berkenaan para sahabat yang tidak melewatkan apa-apa perkara apabila sampai masanya. Dan jika lewat sekalipun, tidak melebihi 40 hari. Tidak juga alasan bagi seseorang melewatkan sehingga 40 hari secara mutlak. (Lihat al-Majmu’, 1/287)
Sumber: Portal Laman Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Artikel berkaitan: Tak Perlu Ke Spa Untuk Kuku Cantik, Bersih & Berkilat! Hanya Lakukan 10 Tip Mudah & Murah Ini Sahaja!
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI