Sejak berhijrah pelakon dan pengacara Diana Amir memang mengubah penampilan dan sikapnya 360 darjah. Dia yang melakukan penghijrahan setelah mengakui hidupya kini semakin mendapat ketenangan. Walaupun begitu sebagai selebriti, Diana tetap mengutamakan penampilan untuk sentiasa kelihatan cantik. Diana Amir tidak lokek berkongsi cantik cara Islam yang diamalkannya ketika bertemu beliau di majlis pelancaran Pameran Sukan Dan Kecergasan Antarabangsa (MISFIT 2018) baru-baru ini.
Menurut Diana dalam agama Islam sendiri memang amat mementingkan kebersihan. Jadi secara tak langsung kita akan menjaga kebersihan diri. Ini kita boleh lihat apabila perlu mengambil wuduk dahulu sebelum bersembahyang lima kali sehari.
BERSIH WAJAH SEBELUM TIDUR
Jika kita mengambil wuduk dengan sempurna memang diri akan bersih. Ini kerana daripada situ (mengambil wuduk) kita membersihkan muka dan kaki dan secara tak langsung itu juga sebahagian daripada menjaga kebersihan.
Dia juga turut memastikan sebelum masuk tidur Diana akan membersihkan wajah terlebih dahulu. Tidak akan sesekali terus tidur tanpa membasuh wajah dengan bersihnya. Selain itu petua lain diamalkan adalah perlunya menjaga stamina dengan melakukan senaman bagi mengekalkan tubuh supaya kekal sihat dan cergas.
Ibu kepada dua cahayamata ini juga turut berkongsi amalan kerohanian bagi membuatkan wajah seseorang itu kekal berseri dan bercahaya.
SENTIASA BERZIKIR
Menurut Diana lagi kecantikan itu penting bermula dari dalaman dengan hati dan jiwa yang tenang. Ketenangan itu akan datang pada seseorang bila kita sentiasa menngingati Allah. Jangan sesekali fikir perkara yang memeningkan kepala kerana ia boleh membuatkan seseorang itu cepat tua.
“Sentiasa mengingati Pencipta kita tidak kira di mana juga berada. Cara mengingati-Nya adalah dengan berzikir. Sebenarnya banyak zikir boleh diamalkan lebih-lebih diri kita ini adalah pendosa. Jadi kita perlu sentiasa memperbaiki iman dan syahadah.
“Zikir paling mudah untuk diamalkan adalah Istighfar dan Lailahaillah. Sentiasa basahkan mulut dengan zikir mulia dan inysa-Allah segala urusan akan dipermudahkan. Kita ingat Dia dan Dia akan mengingati kita dan hati akan memperoleh ketenangan yang paling hakiki, lebih-lebih apabila berada dalam kesusahan,” jelas Diana sebelum mengakhiri perbualan.
KREDIT FOTO: DIANA AMIR
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI